Wanita Sayu Terima Berita ‘Rider’ Maut Nahas Jalan Raya Selepas Dua Jam Mesej Tak Dibalas
Salam takziah buat mangsa dan seluruh ahli keluarga.
Cover image via @fatinaleya (Threads)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Penantian dua jam seorang wanita untuk menunggu pesanan akhirnya terjawab apabila rider itu meninggal di tempat kejadian akibat kemalangan
Fathin Aleya baru-baru ini mendapat perhatian orang ramai di Threads selepas berkongsi tangkap layar mesejnya dan mengetahui kejadian sebenar.
Mesej yang ditunjukkan hanya bertanya mengenai situasi dan keadaan pesanannya tetapi tidak dibalas.
Lebih memilukan, mesej itu bukan tidak dibalas kerana penunggang p-hailing itu melarikan diri, tetapi kerana dia sudah meninggal dunia, dipercayai terbabit dalam kemalangan jalan raya.
"Weh aku dah 2 jam tunggu rider ni. Pastu pelik kenapa takde respon and tak gerak. Then kawan call, and ada orang angkat. Cakap rider ni accident and meninggal di tempat kejadian. Mohon siapa kenal rider ni. Dia tengah cari waris," katanya di Threads.
Menerusi komen, kemalangan itu berlaku di New Pantai Expressway (NPE) yang menghala ke Pantai Dalam.

Penghantaran sepatutnya sudah dihantar dari Shah Alam ke Sri Hartamas
Dilaporkan oleh Harian Metro, Fathin Aleya, 27, seorang eksekutif kewangan, mengatakan dia telah membuat pesanan cop pada jam 10.30 pagi semalam dan penunggang p-hailing berkenaan sepatutnya membuat penghantaran.

"Penghantaran itu dari Shah Alam, Selangor ke pejabat saya dekat Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
"Selepas buat pesanan, saya sambung buat kerja macam biasa dan selepas satu jam, saya pelik kenapa barang dipesan masih tidak sampai malah lokasi yang memaparkan pergerakan penunggang juga tidak bergerak.
"Tapi saya fikir positif kerana fikir mungkin penunggang berkenaan menunggu pesanan lain jadi sambil menunggu, saya bersembang dengan kawan sekerja.
"Kemudian, saya mesej penunggang berkenaan tapi tak dibaca dan dibalas. Saya tunggu lagi sehingga dua jam dan mendapati lokasi masih sama jadi waktu itu sudah berasa tak sedap hati," katanya kepada Harian Metro.

Pada mulanya, panggilan pertama tidak dijawab, tetapi tidak lama kemudian seorang individu tak dikenali telah mengangkat panggilan dan memberitahu penunggang itu tentang kemalangan serta kematiannya di tempat kejadian.
Hantaran Fathin Aleya di Threads telah mendapat perhatian waris dan orang ramai
Melihat di komen, wanita dengan nama @bellbiia20 mengatakan bahawa rider itu adalah tunangnya. Mereka sepatutnya akan berkahwin tahun hadapan.
"Kak itu tunang saya. Minta tolong semua sedekahkan al-Fatihah untuk Muhammad Helmie bin Muhammad Termizi yaa," katanya.
Arwah Muhammad Helmie sebenarnya hanya melakukan part-time p-hailing.
Dr. Zulkifli Albakri juga telah memberikan komen mengucapkan takziah buat arwah termasuk pesanan untuk orang ramai.
"Kita tidak pernah tahu perjalanan manakah yang bakal menjadi perjalanan terakhir. Beliau dijemput Ilahi ketika berusaha mencari rezeki untuk diri dan keluarganya. Moga syurga menjadi tempat istirahat buat dirinya.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
Maksudnya: "Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah segala kesalahannya." kata beliau.
"Innalillahiwa inna ilaihirajiun. Meninggal semasa sedang mencari rezeki. Semoga pahala jihad dan syahid buatnya. Amin" ujar komen dari seorang wanita.
Difahamkan, keluarga waris berasal dari Kuala Krai, Kelantan. Urusan pengebumian akan dilakukan di kampung.
Salam takziah buat mangsa dan seluruh ahli keluarga.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


