imho

Dato' Seri Vida Memang Baik Orangnya, Tapi Saya Tak Senang Duduk Bila Dia Tayang Harta

Biasalah, lain orang lainlah pendapat.

Cover image via HD/SD Malay Film/Facebook

Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman dan pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak SAYS.

Saya tak tahulah macam mana nak describe pandangan saya terhadap Dato' Seri Vida.

Nak kata suka, tidak. Nak kata benci, pun tidak.

Image via www.popiyah.com

Cuma bila saya tengok Dato' Seri Vida di kaca TV, terus saya rasa macam nak tukar ke channel lain. Tapi masalahnya, tukarlah ke mana-mana channel Melayu sekali pun, wajah Dato' Seri Vida tetap akan terpampang, sama ada dalam iklan, dalam anugerah, atau dalam rancangan lain.

"Dato' Seri Vida ni memang suka publisiti ke?"

Saya selalu bertanyakan soalan ini kepada diri saya sendiri. Mana taknya, lihat saja pada penampilan beliau dalam bermacam-macam rancangan hiburan tempatan. Beliau nampak seperti tak lekang untuk membuat kemunculan. Selagi ada slot, selagi itulah Dato' Seri Vida akan mengambil peluang.

Malah, jurukamera juga kerap memberi spotlight kepada beliau setiap kali jenama Qu Puteh atau Pamoga disebut oleh hos rancangan. Perasan tak? Bagi yang tidak menonton mana-mana rancangan hiburan Melayu, mungkin susah sikit untuk dapatkan gambaran.

Terbaru, Dato' Seri Vida muncul lagi. Kali ini dalam sebuah rancangan eksklusif yang diberi nama 'Terlajak Puteh, Nampak?' bersama hos nombor 1 Malaysia, Dato' Aznil Hj Nawawi atau Pak Nil

Dalam banyak-banyak penampilan beliau sebelum ini, saya rasa inilah yang paling terlebih sekali. Maafkan saya kerana menggunakan perkataan 'terlebih' tapi saya rasa ia memang sesuai.

Semua pun tahu, Dato' Seri Vida ni kaya raya orangnya. Duit ada berjuta-juta, harta beliau lagi tak payah cerita. Memang terlampau kaya. Maklumlah, produk Pamoga Qu Puteh sekarang ni memang tengah hangat di pasaran. Laris seperti pisang goreng panas.

Saya bukan kisah pun kalau dia kaya raya. Saya bukan kisah pun kalau dia ada harta berjuta-juta. Sebab Dato' Seri Vida memang layak untuk memilikinya atas usaha keras beliau selama ini.

Cuma...

...saya rasa kurang selesa sikit bila orang kaya tunjuk harta.

Fine, memang Dato' Seri Vida berusaha sedaya upaya untuk sampai ke tahap ini. Saya tak nafikan yang beliau memang layak untuk memiliki semua itu.

Tapi perlu ke sampai nak tunjuk harta kekayaan kepada orang ramai secara umum? Siap ada rancangan eksklusif semata-mata nak show off segala benda yang dia ada.

Bukan setakat show off kekayaan saja, tapi cara Dato' Seri Vida bercakap pun kadang-kadang menjengkelkan bagi saya

Ini antara dialog Dato' Seri Vida yang sempat saya rakamkan:

Bila Pak Nil cakap beliau patut tinggal di sebuah istana pada permulaan rancangan, beliau membalas, "Nanti saya tunjuklah rumah saya yang saya tak pindah-pindah tu."

Dato' Seri Vida angkat satu beg tangan Gucci berwarna maroon lalu berkata, "Kalau tak bling memang tak pakai. Contohnya, beli Gucci ni haa tak pakai. Malu nak pakai. Tak ada bling."

Ketika Pak Nil sedang membelek koleksi beg tangan, beliau tunjukkan satu beg berwarna hijau jenama Chanel dan berkata, "Ini terbaru limited edition. Eee seronoknya dapat."

Sedang beliau asyik menunjukkan koleksi kaca mata dan minyak wangi, beliau berkata, "Kadang-kadang beli tak pakai pun. Suka tengok je."

Pelbagai koleksi kasut berjenama disusun rapi di depan mata tapi beliau menyifatkan, "Ini yang biasa jela kasut-kasut ni sebab kasut yang mahal semuanya - yang tumit-tumit halus - saya ada lah satu dua."

Apabila ditanya tentang motosikal Harley Davidson yang tersadai di depan rumah, beliau berkata, "Dekat RM300k lah harganya. At least ada. Kita memiliki."

Daripada dialog di atas, saya dapat lihat yang Dato' Seri Vida ni sebenarnya boros orangnya

Kenapa saya cakap dia boros? Sebab dia terlalu banyak beli barang yang tidak diperlukan. Dato' Seri Vida beli barang sebab beliau suka, beli barang limited edition sebab nak rasa seronok memiliki, beli rumah banyak-banyak sebab suka kawasan perumahan, beli crown banyak-banyak sekadar nak kumpul, dan macam-macam lagi.

Tak ada masalah kalau dia nak buat semua tu sebab dia memang ada duit yang banyak dan dia mampu. Cuma bila dilihat dari perspektif warga marhaen seperti kebanyakan kita ni, perkara-perkara sebegini boleh menimbulkan rasa kurang senang.

Punyalah ramai orang yang struggle untuk hidup di luar sana. Kadang-kadang barang keperluan pun tak cukup. Tapi Dato' Seri Vida boleh pula shopping sesuka hati mengikut kehendak, bukan mengikut keperluan.

Saya faham, Dato' Seri Vida dulu pernah hidup susah. Pelbagai dugaan dan rintangan yang perlu beliau tempuhi untuk menjadi seorang usahawan berjaya dan kaya raya. Jadi, mungkin sebab itulah dia rasa syok sikit bila mendapat publisiti.

Ramai juga didapati membandingkan gaya hidup Dato' Seri Vida yang jauh lebih mewah daripada pengasas laman sosial nombor 1 dunia, Facebook iaitu Mark Zuckerberg

Mark Zuckerberg bersama isteri, Priscilla Chan.

Image via www.dailymail.co.uk

Mark Zuckerberg mempunyai sebuah empayar yang bernilai puluhan ribu bilion dollar dan juga merupakan antara orang paling kaya di dunia. Namun begitu, Mark tetap mengamalkan gaya hidup simple yang sama seperti orang biasa.

Dan kalau anda perasan, Mark Zuckerberg selalu pakai baju kelabu yang sama dalam setiap event yang beliau hadir. Sebabnya?

Beliau berkata, keputusan kecil seperti memilih pakaian juga boleh jadi memenatkan dan memakan tenaga. Jadi, Mark tidak mahu membuang masa pada itu.

Saya tak ada niat pun nak kecam Dato' Seri Vida atas kejayaannya. Macam saya cakap tadi, beliau memang layak untuk memiliki segala-galanya. Itu hak dia.

Tapi kalau boleh biarlah berpada-pada sedikit dalam menayangkan harta aset kepada umum.

Dato' Seri Vida pernah cakap yang dia tak kisah dan tak peduli langsung apa orang nak cakap mengenai beliau. Baginya, itu adalah asam garam seorang usahawan. Sebaik mana pun individu itu, pasti akan ada orang yang membencinya. Tak gitu?

Apa-apa pun, saya ingin ucapkan selamat berjaya kepada Dato' Seri Vida dalam apa jua yang beliau lakukan. Saya percaya, Dato' buat semua ini semata-mata bagi memberi inspirasi kepada anak-anak Melayu untuk terus berjuang dan tidak berputus asa.

Seperti yang beliau katakan di akhir rancangan:

"Anggaplah apa yang saya kongsikan ini sebagai satu suntikan semangat untuk anda berjaya di masa depan."

Nah, layan video penuh di bawah:

Kenali Dato Seri Vida

Posted by HD/SD Malay Film on Saturday, January 2, 2016

Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Baca lagi tentang Qu Puteh DI SINI:

You may be interested in: