'Halo Pulis!' - Hidangan Viral Siput Sedut Cheese Membuatkan Netizen Berang
Siput sedut keju yang pelik tapi benar. Meliurkan atau meloyakan?
Nampak gayanya fenomena 'fusion' keju di Malaysia tidak akan berganjak buat masa yang terdekat ini
Dari satay keju sehingga char kuey teow keju, memang ternyata rakyat Malaysia minat akan eksperimentasi makanan tempatan. Para pengusaha restoran juga tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk mencipta inovasi hidangan keju terbaru.
Tetapi sampai bila kita boleh biarkan fenomena ini berleluasa?
Siapa sangka, siput sedut yang selalunya dimasak lemak cili api, kini dibanjiri kuah butter milk dan ditabur keju mozarela?
Digelar sebagai 'Escargot Malaysia', hidangan siput sedut ini direbus terlebih dahulu dan digaul bersama mentega, susu dan cili padi. Bukan itu sahaja, hidangan ini juga ditabur dengan keju yang kemudiannya dibakar sehingga cair dan meleleh.
Hidangan fusion ini mula mendapat perhatian orang ramai apabila Malaysia Hari Ini telah membuat sorotan tentang makanan-makanan tempatan yang diinovasikan bersama keju
Tonton video di bawah (Mula dari 51:00 hingga 1:03:33):
Menurut pengusaha restoran Izi Stesen, Nur Syairah Zainal Abidin, ilham untuk menu ini tercipta kerana beliau mahu menyediakan hidangan yang mempunyai sedikit kelainan dari hidangan makanan laut lain di restorannya seperti shell out asam pedas dan kerang bakar.
Selain dari Siput Sedut Cheese, restoran ini juga menghidangkan beraneka makanan laut yang disaluti kuah mentega dan keju seperti Sotong Butter Cheese dan Lobster Garlic Butter Cheese.
Memang boleh difahamkan kenapa menu siput sedut keju ini dikecam teruk oleh netizen
Dimana pada kebiasaannya siput sedut disediakan sebagai masak lemak cili api, kini hidangan ini digandingkan bersama keju.
Manakan tidak, siput sedut memang sesuai sekali dimasak lemak cili api. Ini kerana tekstur berlendir siput sedut yang enak bersama rasa pedas dan berempah pada masak lemak cili api.
Adakah menu ini sudah melampaui batas ataupun ia hanyalah perbezaan cita rasa sahaja?
Untuk dapatkan banyak lagi artikel seperti ini, LIKE Facebook Seismik Makan serta FOLLOW kami di Instagram sekarang!