seismik

42 Kumpulan & Individu Tampil Mohon Kerajaan Hentikan Serangan Ke Atas Mentega Terbang

Menurut kenyatan itu, maklum balas kerajaan setakat ini akan memberi kesan yang menakutkan kepada filem dan industri kreatif Malaysia.

Cover image via VIU Malaysia

Follow kami di TelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Sekumpulan rakyat Malaysia yang prihatin tampil dan menggesa kerajaan untuk segera menghentikan serangan terhadap filem Mentega Terbang terbitan tempatan

Kumpulan itu yang terdiri daripada masyarakat sivil, organisasi kreatif dan individu menyeru kerajaan memastikan persekitaran yang selamat untuk pembikin filem dan artis meneruskan karya mereka.

Berikut di bawah adalah kenyataan bersama penuh daripada mereka:

Melihat kepada kontroversi baru-baru ini yang menyelubungi filem Mentega Terbang, kami, yang bertandatangan di bawah, menyeru Kerajaan untuk memastikan keselamatan pembikin filem dan artis sentiasa dilindungi untuk mereka meneruskan karya mereka.

Kerajaan perlu memastikan kandungan kreatif yang dianggap menyinggung oleh segelintir individu dan kumpulan tertentu mesti dikendalikan secara bebas, profesional dan telus untuk melindungi kebebasan kreativiti artis dan juga kanak-kanak bawah umur.

Kami berpendirian bahawa penyelesaian jangka panjang tidak terletak pada penapisan filem yang lebih ketat, atau pelaksanaan hukuman terhadap penggiat seni dan bukan sama sekali dengan memberi kuasa kepada penasihat agama ke atas kandungan kreatif.

Kini, kerajaan dijangka akan campur tangan akibat rungutan yang diperbesarkan (secara organik atau disusun) melalui media sosial dan laporan polis.

Perkembangan terkini dalam kes Mentega Terbang, menurut laporan berita, ialah pembikin filem itu mungkin disiasat di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penggunaan undang-undang ini menyatakan secara tidak langsung bahawa pembikin filem Mentega Terbang sengaja mencetuskan ketidakharmonian dalam negara.

Sebaliknya, tiada penyiasatan dijalankan terhadap ancaman fizikal dan gangguan seksual yang dilontarkan oleh pengguna media sosial kepada pembikin dan penerbit filem Mentega Terbang.

Keadaan di mana tiada tindakan diambil terhadap pengguna media sosial tersebut memberi mesej bahawa ancaman keganasan boleh diterima jika seseorang berasa tersinggung. Ini mewujudkan budaya takut yang membahayakan pembikin filem dan artis.

Maklum balas kerajaan setakat ini akan memberi kesan yang menakutkan kepada filem dan industri kreatif Malaysia. Ia akan menghalang pembikin filem dan pencipta kandungan kreatif daripada menghasilkan kandungan kritikal yang sangat diperlukan yang mewakili realiti kehidupan kita yang beragam.

Jika kita mahu menuju ke Malaysia Madani, maka kita perlu mewujudkan persekitaran yang memupuk kepelbagaian sudut pandangan, perdebatan yang sihat, penglibatan yang penuh hormat, dan semangat kreativiti dan inovasi tanpa rasa takut – pembikinan filem dan seni adalah penting untuk ini.

Sumber dan tenaga harus disalurkan ke dalam literasi media dan membina Malaysia Madani di mana orang dewasa didedahkan, didorong dan diperkasa untuk mengawal kendiri dan membuat keputusan berdasarkan klasifikasi dan citarasa, nilai dan prinsip masing-masing.

Kritikan dan pandangan balas terhadap mana-mana kandungan kreatif harus dibenarkan dalam masyarakat demokratik dengan syarat ia dinyatakan dalam cara yang aman dan tidak berunsur keganasan.

Kita tidak boleh membenarkan ugutan, ancaman dan budaya ketakutan yang diamalkan oleh kumpulan tertentu untuk menyekat kebebasan bersuara dan menggugat kenikmatan semua hak dan sistem demokrasi kami. Sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara mestilah sah, perlu dan setimpal dengan bahaya yang ditimbulkan.

Signed by / Ditandatangani

- Aliran

- Amnesty International Malaysia

- Azmyl Yunor, Singer Songwriter & Academician Association of Women Lawyers (AWL)

- Brian Gomez, Writer & Musician

- Beyond Borders

- Centre for Independent Journalism (CIJ)

- Chi Too, Arts Worker

- Faisal Tehrani, Writer

- Five Arts Centre

- Freedom Film Network

- GERAK (Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia)

- Iedil Dzuhrie Alaudin, Actor IMAN Research

- Jurnal Svara

- Justice for Sisters

- Pusat Komas

- KUMAN Pictures

- KRYSS Network

- Loo Hong Chuang, Academician

- Lostgens’ Contemporary Artspace

- Mahi Ramakrishan, Documentary Filmmaker Mini Film Festival

- Manamana Productions Malaysia Muda

- Nadira Ilana, Filmmaker

- Nandita Solomon, Film Producer PEN Malaysia

- ReformARTsi

- SeaShorts Film Festival

- Siring Siring Production

- Sisters In Islam

- SUARAM

- The Instant Cafe Theatre Company Youth of Malaysia

- Yow Chong Lee, Academician Farah Rani, Actor

- Shamaine Othman, Writer Waroeng Baru

- Yeoh Lian Heng, Artists & Curator Zaharom Nain, Academician

- Zarul Albakri, Producer

Sebagai rekod, pihak polis sudah membuka kertas siasatan berhubung filem Mentega Terbang

Difahamkan, pihak polis sudah membuka kertas siasatan ke atas filem Mentega Terbang yang mencetuskan kontroversi dengan jalan cerita yang didakwa mempersendakan Islam.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata, sehingga kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lapan laporan polis di mana satu kertas siasatan sudah dibuka.

Menurutnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksan dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

"Kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Mentega Terbang kini tidak lagi ditayang di platform penstriman Viu

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, platform penstriman Viu hentikan tayangan filem kontroversi, Mentega Terbang pada 27 Februari lalu.

SKMM menjelaskan, walaupun tidak mempunyai kuasa menapis filem dan drama televisyen kerana tidak berada di bawah bidang kuasanya, suruhanjaya itu sudah menghubungi Viu sebelum mengesahkan penamatan filem Mentega Terbang.

Dalam masa sama, SKMM berkata, pihaknya komited bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memantau sebarang kandungan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

"Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 menyatakan bahawa penapisan filem atau drama pada platform penstriman tidak terletak di bawah bidang kuasa SKMM.

"SKMM akan sentiasa bekerjasama dan memberi sokongan teknikal kepada jabatan agama negeri untuk menjalankan siasatan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah," katanya dalam satu kenyataan.

Image via VIU Malaysia

Terdahulu, filem indie, Mentega Terbang yang ditayangkan di platform penstriman digital mencetuskan kontroversi dengan memaparkan jalan cerita yang bertentangan dengan agama Islam dan dimainkan oleh pelakon beragama Islam.

Filem arahan Khairi Anwar dan diterbitkan Tan Meng Kheng ini mula ditayangkan melalui platform penstriman Viu pada 19 Januari lalu dengan skrip ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: