seismik

9 Rakyat Malaysia Tekad Jalan Kaki & Berbasikal Menuju Ke Baitullah Bagi Tunaikan Haji

Semoga perjalanan mereka semua dipermudahkan.

Cover image via Sinar Harian

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Sembilan rakyat Malaysia dilaporkan kini dalam perjalanan menuju ke Baitullah dengan memilih laluan darat secara berjalan kaki dan berbasikal

Menurut laporan Sinar Harian, seorang warga emas berusia 71 tahun nekad melakukan kayuhan basikal sejauh 6,000 kilometer (km) dari Malaysia ke Mekah bersama adik dan rakannya.

Ketua Misi Kembara Berbasikal ke Makkah, Dahalan Yahaya berkata, misi kayuhan yang dijangka mengambil masa selama enam bulan itu dilakukan bersama adik lelakinya Zam Yahaya, 61, dan rakannya, Ahmad Zulkifli Ahmad, 56.

"Kami akan melalui beberapa negara sepanjang perjalanan termasuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand di Danok sebelum ke Bangkok, Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dijangka tiba di Arab Saudi pada Ramadan nanti.

"Untuk misi kayuhan ini, kami telah membuat latihan sejak dua tahun lepas lagi dengan berbasikal pusing (satu) Malaysia dan mengayuh (basikal) setiap hari untuk memastikan tahap stamina dan kekuatan berada pada tahap maksimum,"
katanya.

Difahamkan, ketiga-tiga mereka telah tiba di Islamabad, Pakistan sejak Jumaat lalu.

Image via Sinar Harian

Manakala, seorang pemuda, Zainul Aqil Misnan, 29 sanggup menjual kereta kesayangannya demi menjayakan misi pengembaraan ke Mekah dengan kayuhan secara solo dari Banting, Selangor sejak 5 Disember lalu

Menurutnya, dia melepaskan komitmen bulanan bagi memastikan tidak terbeban dengan hutang sepanjang misi jelajahnya ke Tanah Suci.

"Saya perlukan sehingga RM30,000 untuk menampung perbelanjaan sepanjang lima ke enam bulan misi jelajah ini yang melibatkan kos penginapan, makanan, basikal, kelengkapan serta penggunaan kenderaan awam di negara lain.

"Jadi, saya terpaksa jual kereta untuk lepaskan komitmen bulanan yang ada supaya tidak terbeban semasa perjalanan ke luar negara," katanya.

Image via Sinar Harian

Dalam pada itu, dua bersaudara iaitu Mohamad Al Bukhari Ellia, 26, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34 juga memulakan pengembaraan mereka dengan hanya berjalan kaki dari Changkat Lobak, Bagan Serai, Perak menuju ke Tanah Suci

Mohamad Azizul berkata, mereka mengambil masa dua tahun untuk membuat perancangan yang rapi dan pelbagai persediaan dari segi kecergasan fizikal serta mental sebelum memulakan misi jelajah berkenaan.

"Kami konsisten menjalani latihan lain seperti berjoging dan mendaki, malah kami banyak bertanya kepada pihak yang berpengalaman mengembara secara berbasikal dan berjalan kaki selain membuat kajian dokumentasi, kos pengangkutan dan cuaca," katanya.

Mohamad Azizul memaklumkan bahawa dia bersama Mohamad Azizul kini berada Bukit kayu Hitam, Kedah dan dalam perjalanan menuju ke Thailand.

Image via Sinar Harian

Selain itu, seorang pemandu teksi, Abdul Halim Mat yang dikenali sebagai Abah Halim juga tidak melepaskan peluang untuk menunaikan umrah dengan berbasikal secara solo

Abdul Halim pada Khamis lalu memaklumkan bahawa dia kini berada di Multan, Pakistan dan akan meneruskan perjalanan ke negara yang seterusnya.

Selepas sekian lama mengelilingi negara dengan motosikal klasik Honda C70 miliknya, kali ini Abdul Halim, 50 membuat keputusan untuk memulakan pengembaraan tersebut dengan basikal yang baharu dibelinya pada awal tahun ini.

"Saya sudah berniat untuk ke Makkah sejak setahun lalu selepas melakukan pengembaraan bermotosikal secara solo di beberapa negeri dalam negara. Jadi, timbul niat meneroka penjelajahan baharu, kali ini agak berbeza dengan menaiki basikal jelajah.

"Pada mulanya, anak saya keberatan untuk melepaskan saya pergi tetapi selepas dijelaskan niat sebenar saya, mereka pun faham dan merelakan saya pergi," katanya.

Image via Sinar Harian

Pasangan suami isteri, Ahmad Isa dan isteri, Adilah turut tidak melepaskan peluang memulakan misi Empat Tahun Kayuh Jelajah Dunia dengan fasa pertama iaitu menuju ke Mekah untuk menunaikan haji pada 2025

Difahamkan, mereka telah memulakan jelajah tersebut dengan berbasikal sejak 4 Disember lalu dan kini sedang berada di Khon Kaen, Thailand.

"Saya nak mengembara selama empat tahun tetapi untuk fasa pertama kita pergi ke Makkah dulu untuk menyelesaikan haji dan akan merentasi negara yang baharu iaitu akan masuk ke Laos dan seterusnya China.

"Plan asal kembara solo tetapi ada yang menemani, Adilah nak ikut saya. Alhamdulillah juga dah dapat restu daripada umi dan abi, mak dengan abah...semua restu untuk saya sambung kembara selama empat tahun mengelilingi dunia.

"Saya belikan Adilah basikal lipat untuk memudahkan dia naik kapal terbang dan lipat sahaja basikal tersebut," katanya.

Lima lagi individu dilaporkan bakal mulakan misi jelajah mereka tidak lama lagi

Beberapa lagi individu telah mengumumkan mengikut jejak langkah sama berbasikal ke Mekah dalam masa terdekat.

Individu tersebut ialah pelakon, Amar Baharin dan pendaki Gunung Everest, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin serta bekas wartawan, Che Saad Noordin bersama dengan Ramli Osman dan Azmi Osman.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:

More stories to read: