Ada Keluarga T20 Miliki Baki RM10,000 Lepas Sebulan, Manakala Sebuah Lagi Hanya Tinggal RM300

Tapi kenapa?

Enlarge text
Cover ImageCover image via MyGovernment & IUA

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Sebuah hantaran di LinkedIn yang mempersoalkan bagaimana Malaysia mentakrifkan isi rumah 'kaya' telah tular, menarik perhatian ramai rakyat Malaysia yang bimbang tentang subsidi yang disasarkan dan peningkatan kos sara hidup

Dalam hantaran itu, Yie Hahn Hwong berkongsi bahawa label T20, yang sering digunakan untuk menggambarkan 20% penerima pendapatan tertinggi negara, menyembunyikan perbezaan besar dalam cara keluarga kateori ini sebenarnya hidup dan berbelanja.

"T20 kedengaran kaya. Sehingga anda menyedari betapa luasnya skop itu sebenarnya," tulisnya.

Untuk menggambarkan maksudnya, Yie menghasilkan pembentangan bertajuk 'Inside One Label', membandingkan tiga isi rumah secara hipotetikal, yang tinggal di Kuala Lumpur. Keluarga pertama memperoleh RM11,820 sebulan, yang kedua memperoleh RM16,793, manakala yang ketiga memperoleh RM54,274.

Walaupun ketiga-tiga isi rumah berada dalam kategori pendapatan tinggi, Yie berhujah bahawa pendapatan sahaja tidak mendedahkan berapa banyak ruang kewangan yang sebenarnya dimiliki oleh sesebuah keluarga.

Menurut contoh-contoh di dalam pembentangannya, keluarga pertama hanya mempunyai simpanan bulanan sebanyak RM300 selepas menampung perbelanjaan perumahan, pengangkutan, makanan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perbelanjaan lain.

Keluarga kedua pula menyimpan RM600. Sementara itu, keluarga ketiga mempunyai baki RM10,000 setiap bulan.

SAYS.com
Image via Yie Hahn Hwong (LinkedIn)

"Perbezaan sebenar bukan sekadar gaji, tetapi keupayaan untuk menempuhi tempoh yang buruk, keupayaan untuk mengendalikan kecemasan keupayaan untuk terus jalani kehidupan," tulis Yie

Salah satu contoh dalam pembentangan itu membayangkan ketiga-tiga keluarga menghadapi perbelanjaan RM5,000 yang tidak dijangka, seperti bil hospital, kerosakan kenderaan, atau pembaikan rumah segera.

Dalam ilustrasi itu, kedua-dua Keluarga A dan Keluarga B perlu bergantung pada pinjaman atau hutang untuk menampung kos, manakala Keluarga C mampu menampung perbelanjaan menggunakan sebahagian daripada simpanan bulanan mereka.

Pada masa ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengklasifikasikan isi rumah T20 sebagai mereka yang berpendapatan RM12,680 atau lebih sebulan.

Walau bagaimanapun, kerajaan semakin mengakui bahawa kategori tradisional B40, M40 dan T20 mungkin terlalu luas untuk mencerminkan keadaan kewangan isi rumah dengan tepat.

Sebagai sebahagian daripada pembaharuan ekonomi, kerajaan MADANI sedang mempertimbangkan sistem yang memberi tumpuan kepada Net Disposable Income (NDI) dan bukannya pendapatan isi rumah kasar.

Di bawah pendekatan ini, pendapatan isi rumah akan dinilai bersama faktor-faktor seperti lokasi, saiz keluarga dan kos sara hidup untuk menentukan kuasa beli sebenar.

Sistem ini dijangka akan dikuasakan oleh PADU, Hab Pangkalan Data Utama Malaysia, yang akan digunakan untuk membantu mengira kedudukan kewangan isi rumah selepas mengambil kira perbelanjaan asas untuk isi rumah yang layak.

SAYS.com
Image via Yie Hahn Hwong (LinkedIn)

Perkara ini dilihat menjadi relevan ketika Kerajaan bersiap sedia untuk melaksanakan subsidi bahan api RON95 yang disasarkan

Kementerian Kewangan sedang memperhalusi mekanisme yang akan membolehkan rakyat Malaysia yang layak terus membeli RON95 pada harga subsidi sambil secara beransur-ansur menghapuskan subsidi menyeluruh untuk kumpulan berpendapatan tinggi. Sebahagian daripada cabarannya adalah untuk menentukan dengan tepat siapa yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan tinggi tersebut.

Pengenalan kerajaan terhadap kategori "T15", yang merujuk kepada 15% penerima pendapatan tertinggi, telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan banyak isi rumah kelas menengah, yang bimbang bahawa klasifikasi yang luas boleh menggabungkan mereka bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang jauh lebih kaya. Kebimbangan itulah yang cuba diketengahkan oleh perkongsian Yie.

Satu contoh dalam pembentangannya mengkaji kesan perbelanjaan bulanan tambahan RM406, yang mencerminkan potensi peningkatan kos bahan api. Dalam ilustrasinya, kos tambahan mendorong simpanan bulanan isi rumah berpendapatan terendah ke kawasan negatif, hampir menghapuskan penampan keluarga kedua, dan mempunyai sedikit kesan terhadap isi rumah berpendapatan tertinggi.

"Mungkin perbincangan itu tidak sepatutnya menyifatkan T20 adalah golongan 20% terkaya di Malaysia dan tidak memerlukan bantuan. Mungkin sepatutnya ia lebih kepada golongan T20 manakah sebenarnya yang kita bicarakan?" tulis Yie.

Kesimpulannya mencerminkan perdebatan yang telah berlaku dalam kalangan pembuat dasar, sama ada pendapatan sahaja sudah cukup untuk menentukan siapa yang memerlukan bantuan, atau sama ada pendekatan yang lebih terperinci diperlukan.

Ketika Malaysia bergerak ke arah subsidi yang disasarkan dan penilaian isi rumah yang lebih terperinci, persoalan yang ditimbulkan oleh perkongsian tular itu menjadi semakin relevan. Bolehkah berjuta-juta isi rumah benar-benar dikumpulkan di bawah satu label dan dilayan dengan cara yang sama?

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: