Ada Terima Fail ZIP & RAR Di WhatsApp? Ini Kesilapan Penting Yang Anda Perlu Elak

Mesej-mesej ini amat membimbangkan kerana ia dihantar oleh kenalan sedia ada.

Cover ImageCover image via Maybank2u & SAYS

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Puluhan individu di Malaysia dilaporkan telah menerima fail ZIP dan RAR yang mencurigakan melalui WhatsApp, di mana lampiran tersebut menyamar sebagai dokumen kewangan dan dihantar berserta arahan supaya ia dibuka menggunakan komputer

Mesej-mesej ini amat membimbangkan kerana ia dihantar oleh kenalan sedia ada, seperti rakan, rakan sekerja dan kenalan perniagaan, bukannya daripada nombor yang tidak dikenali.

Laporan serupa telah muncul dalam talian sejak beberapa minggu kebelakangan ini, antaranya akhbar The Star melaporkan pada 29 September, rakyat Malaysia menerima fail ZIP mencurigakan yang menyamar sebagai dokumen sah daripada kenalan WhatsApp yang dipercayai.

Fail-fail ini berisiko mendedahkan komputer Windows kepada perisian hasad (malware). Kejadian ini turut mendorong orang ramai untuk memberi amaran kepada rakan serta ahli keluarga agar tidak memuat turun lampiran yang tidak dijangka, terutamanya apabila ia diterima tanpa sebarang penjelasan.

Seorang pengguna WhatsApp yang menerima dua mesej sedemikian memberitahu SAYS bahawa satu mesej datang daripada ibu rakannya, manakala satu lagi daripada kenalan pengurusan kondominiumnya

Kedua-dua mesej itu mengandungi lampiran fail ZIP dan arahan yang hampir serupa, meminta penerima memebrikan penyata akaun kepada pengurus kewangan mereka untuk semakan.

Parvati, 33, tidak membuka kedua-dua fail tersebut. Sebaliknya, dia menghubungi rakannya selepas menerima mesej mencurigakan itu daripada ibu rakannya.

Dia kemudian mendapati bahawa ibu rakannya telah menerima fail serupa daripada seorang rakan sekerja dan memuat turunnya kerana dokumen kewangan itu kelihatan berkaitan dengan pekerjaannya sebagai seorang akauntan.

Selepas menyedari akaun WhatsAppnya telah diceroboh, wanita itu menghubungi pihak WhatsApp untuk mendapatkan semula akses. Dia kemudian menghantar amaran kepada kenalan-kenalannya, meminta mereka supaya tidak menekan sebarang pautan atau fail yang diterima daripadanya.

Parvati berkata dia tidak menghubungi pihak pengurusan kondominiumnya kerana platform tersebut biasanya hanya digunakan untuk tujuan pemberitahuan, bukan untuk perbualan.

Dia juga memberi amaran kepada ibunya sendiri supaya tidak memuat turun sebarang lampiran yang tidak dijangka, sekiranya ibunya menerima mesej yang serupa.

Mesej-mesej tersebut menggunakan bahasa yang lazim digunakan di tempat kerja untuk menjadikan lampiran yang disertakan kelihatan sah

Salah satu mesej berbunyi, "Sila majukan Penyata Akaun yang dilampirkan kepada Pengurus Kewangan anda untuk semakan. Sila buka fail tersebut menggunakan komputer, memandangkan butiran penuh mungkin tidak dapat dilihat pada peranti mudah alih. Terima kasih."

Contoh-contoh lain yang dilaporkan menggunakan olahan kata yang serupa, dengan meminta penerima melihat fail tersebut melalui komputer atas alasan bahawa sesetengah butiran tidak dapat dipaparkan dengan betul pada peranti mudah alih. Arahan untuk menggunakan komputer merupakan satu petanda amaran yang ketara.

Jun lalu, Malaysia's Computer Emergency Response Team (MyCERT) telah mengeluarkan amaran mengenai satu kempen perisian hasad yang menyasarkan pengguna WhatsApp Web dan WhatsApp Desktop pada komputer Windows.

Kempen tersebut menggunakan fail Visual Basic Script berbahaya yang menyamar sebagai dokumen kewangan, perundangan dan pentadbiran. Apabila dijalankan, skrip-skrip ini berupaya memasang perisian akses jarak jauh, yang seterusnya membolehkan penyerang mengawal komputer yang terjejas serta mengakses maklumat sensitif.

Penyelidik keselamatan siber di Kaspersky turut mendokumentasikan kempen ini, dengan melaporkan bahawa lampiran berbahaya telah disebarkan melalui akaun WhatsApp yang telah digodam di pelbagai negara, termasuk Malaysia.

Apakah yang perlu anda lakukan jika menerima fail sebegini?

Jangan buka atau ekstrak fail ZIP atau RAR yang tidak dijangka, walaupun ia dihantar oleh seseorang yang anda kenali.

Walaupun mesej tersebut datang daripada seseorang yang anda kenali, sahkan perkara itu dengan mereka melalui panggilan telefon atau saluran komunikasi yang lain. Akaun WhatsApp mereka mungkin telah diceroboh tanpa pengetahuan mereka.

Jika anda telah memuat turun fail tersebut tetapi belum membuka atau menjalankan sebarang kandungan di dalamnya, jangan teruskan tindakan anda.

Jika anda telah membuka fail yang mencurigakan pada komputer Windows anda, putuskan sambungan peranti tersebut daripada Internet dan hubungi pasukan IT atau keselamatan siber organisasi anda, jika berkenaan. Gunakan peranti lain yang dipercayai untuk mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan akaun anda serta menukar kata laluan yang mungkin telah terdedah.

MyCERT juga menasihatkan pengguna yang terjejas supaya melaporkan mesej yang mencurigakan, serta menyertakan tangkapan skrin dan cap masa (timestamp) yang berkaitan semasa membuat laporan.

Intipatinya mudah, sesuatu lampiran tidak semestinya selamat hanya kerana ia datang daripada kenalan WhatsApp yang anda kenali. Jika anda menerima mesej yang tidak dijangka yang meminta anda membuka dokumen kewangan dalam bentuk fail termampat (compressed file) pada komputer, pastikan anda mengesahkannya terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan lain.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: