Akibat Tak Pakai Face Mask, Orang Awam Ini Didenda Baca Surah Yasin & Laungkan Azan
Hukuman itu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.
Jangan pelik jika anda dikenakan hukuman membaca surah Yasin kalau tidak memakai pelitup muka atau face mask selepas ini
Hal ini berlaku di bandar Cilegon, wilayah Banten di Jakarta, Indonesia apabila orang ramai yang didapati tidak memakai pelitup muka semasa di tempat awam dikenakan denda membaca surah Yasin.
Menurut laporan, Ketua Polis Cilegon, Kompol Jajang Mulyanan berkata, hukuman tersebut dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa mengikuti garis panduan kesihatan yang ditetapkan.
“Di samping memberi kesedaran mengenai bahaya Covid-19, ia secara tidak langsung dapat mendoakan supaya penularan virus itu di negara ini segera berakhir.
“Ada juga orang ramai yang ingkar dengan arahan pemakaian pelitup muka ini kita arahkan supaya melaungkan azan,” katanya.
Sebelum membaca surah Yasin, pesalah turut dikehendaki mengambil wuduk bagi menyucikan diri terlebih dahulu
“Sebelum memegang naskhah al-Quran, mereka dikehendaki mengambil wuduk terlebih dahulu.
“Bukan sahaja untuk menyucikan diri, malah selari dengan garis panduan kesihatan iaitu menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan,” ujarnya.
Selesai membaca surah Yasin, mereka dikehendaki mengisi surat perjanjian pemakaian pelitup muka ketika berada di luar rumah.
Pihak polis akan menjalankan operasi pemantauan tiga kali sehari di beberapa tempat tumpuan orang ramai
Sementara itu, seorang pesalah yang didenda, Yudi mengakui terlupa membawa pelitup muka bersamanya kerana terburu-buru pergi ke pasar.
“Saya terlupa membawa pelitup muka kerana hendak cepat ke pasar membeli barang keperluan.
“Saya telah sedar dan akan sentiasa ingat untuk memakai pelitup muka jika hendak keluar rumah selepas ini,” ujarnya.