Anggota JPJ Bakal Guna Kamera Di Badan Bermula Tahun Ini - Anthony Loke
Penggunaan kamera itu diyakini dapat meningkatkan integriti pasukan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Penggunaan kamera badan untuk anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diperkenalkan bagi meningkatkan ketelusan penguatkuasaan
Menerusi laporan daripada Sinar Harian, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu sidang media selepas majlis amanat tahun baharu 2025 Kementerian Pengangkutan berkata, penggunaan kamera badan bagi anggota JPJ di lapangan akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan khususnya melibatkan kenderaan berat.
Tambah beliau, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli sebelum ini meminta supaya anggota jabatan itu dilengkapkan dengan penggunaan kamera badan supaya imej, keselamatan dan integriti setiap anggota bertugas berada pada tahap tertinggi.
"Pemakaian kamera badan ini bukan sahaja untuk memastikan imej dan integriti JPJ dijaga, tetapi juga dapat melindungi anggota JPJ.
"Seperti yang saya katakan, kadangkala anggota-anggota (JPJ) kita juga dicemuh, dihina, dituduh macam-macam. Jadi, dengan adanya kamera badan ini, anggota JPJ dilindungi kerana apa sahaja bukti semasa mereka menguasakan undang-undang dapat dirakam," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi dilaporkan berkata, penggunaan kamera badan bagi anggota penguat kuasa JPJ sangat diperlukan untuk meningkatkan integriti dalam kalangan anggota bertugas dan orang awam.
Beliau berkata penggunaan kamera itu diyakini dapat meningkatkan integriti pasukan berkenaan selain mengelakkan salah tafsir yang sering berlaku dalam kalangan anggota penguat kuasa semasa bertugas.
Tambah Anthony, beliau telah meminta pengurusan Kementerian Pengangkutan berunding dan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan perolehan kamera badan itu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!