Bank Negara Malaysia Akui Rumah Di Malaysia Sangat Tidak Mampu Milik
Di Malaysia, harga rumah adalah lima kali ganda dari pendapatan isi rumah median tahunan.
Seperti yang kita sedia maklum, harga rumah di Malaysia berada pada tahap yang sangat tidak mampu milik. Majoriti anak muda tidak mampu dan gagal untuk memiliki rumah pertama.
Bank Negara Malaysia turut mengakuinya dan menjelaskan bahawa 'rumah mampu milik' ditarifkan sebagai rumah yang harganya kurang tiga kali ganda pendapatan isi rumah median tahunan menurut piawaian antarabangsa.
Manakala di Malaysia, harga rumah kini lima kali ganda pendapatan isi rumah median tahunan, sekali gus menjadikannya tidak mampu milik.
Dalam laporan Bank Negara Malaysia yang bertajuk “Rumah Mampu Milik: Cabaran Dan Penyelesaian” yang diterbitkan bersama laporan ekonomi negara suku keempat 2017, BNM berkata, harga median rumah di Malaysia dicatatkan pada RM313,000. Ini berbanding harga maksimum mampu milik sebanyak RM282,000.
BNM juga menjelaskan bahawa terdapat tiga faktor utama yang telah menyumbang kepada situasi kediaman tidak terjual
Faktor pertama ialah ketidakpadanan bekalan dan permintaan. Bilangan kediaman yang tidak terjual semakin meningkat di Malaysia.
“Pada suku kedua 2017, hampir 82% kediaman tidak terjual berharga lebih RM250,000,” kata BNM.
Faktor kedua pula, lebih banyak kediaman baru yang dibina pada harga tidak mampu milik.
“Dari 2016 hingga suku pertama 2017, 35 peratus isi rumah Malaysia mampu membeli rumah berharga sehingga RM250,000, namun hanya 24 peratus dari rumah baru dibina dengan harga tersebut,” tambah BNM.
Faktor ketiga pula, pendapatan rakyat Malaysia yang meningkat lebih perlahan berbanding peningkatan harga rumah.
“Dari 2007 ke 2016, harga rumah meningkat 9.8 peratus, sementara pendapatan isi rumah rakyat Malaysia hanya meningkat 8.3 peratus.”
Walaubagaimanapun, BNM turut menggariskan lima cadangan yang dapat menyelesaikan isu rumah tidak mampu milik di Malaysia ini
Antaranya termasuk, dengan menubuhkan pangkalan data bagi mengumpul maklumat dan keperluan pembeli, meningkatkan kadar celik kewangan rakyat dan menggalakkan amalan menyewa rumah kediaman.
Adalah penting untuk memulihkan kedudukan kewangan isi rumah untuk mengurangkan jurang rumah mampu milik di Malaysia. Semoga kita semua dapat mengamalkan lima garis panduan yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia!