Baru Umur 14 Tahun Dah Kena Diabetes? KKM Dedah Trend Yang Semakin Membimbangkan
Antara faktor yang sering dikaitkan ialah pemakanan tinggi gula dan kalori, kurang aktiviti fizikal, obesiti serta banyak lagi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ramai masih anggap diabetes jenis 2 ialah penyakit yang biasanya menyerang orang dewasa atau warga emas
Tapi hakikatnya, situasi itu kini sudah berubah. Menurut laporan Kosmo!, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mendedahkan terdapat remaja seawal 14 tahun yang telah didiagnosis menghidap diabetes jenis 2, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan golongan muda.
Ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata trend tersebut menunjukkan semakin ramai anak muda terdedah kepada faktor risiko seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan paras gula dalam darah yang tidak terkawal.
"Kita melihat individu didiagnosis dengan diabetes jenis 2 pada usia semuda 14 tahun. Ini sangat membimbangkan," katanya.
Ramai tidak sedar diri sendiri sebenarnya berisiko

Lebih mengejutkan, hasil Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) 2025 mendapati ramai belia sebenarnya tidak sedar mereka mempunyai faktor risiko penyakit tidak berjangkit.
Daripada 347,813 individu berusia antara 18 hingga 30 tahun yang menjalani saringan, seramai 341,257 orang (98%) tidak pernah mempunyai sejarah penyakit tidak berjangkit sebelum ini.
Namun, keputusan saringan menunjukkan realiti yang berbeza. Seramai 11,751 individu didapati mempunyai paras glukosa darah yang tinggi, manakala 30,170 individu pula merekodkan bacaan tekanan darah yang tinggi.
Menurut Dzulkefly, dapatan itu membuktikan ramai golongan muda sedang membawa faktor risiko penyakit kronik tanpa mereka sendiri menyedarinya.
Gaya hidup jadi antara penyumbang utama

Peningkatan kes diabetes dalam usia muda bukan sahaja membimbangkan, malah boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kualiti hidup jika tidak dikawal dari awal.
Antara faktor yang sering dikaitkan ialah pemakanan tinggi gula dan kalori, kurang aktiviti fizikal, obesiti serta gaya hidup sedentari yang semakin menjadi kebiasaan terutama dalam kalangan remaja dan belia.
Atas sebab itu, orang ramai digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala walaupun masih muda, selain mengamalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup lebih aktif bagi mengurangkan risiko menghidap penyakit tidak berjangkit pada usia yang lebih awal.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via