Tindakan Rakyat Thai Ini Kepada Penyokong Malaysia Buat Ramai Orang Kagum. Respect!
Semoga sikap hormat menghormati dan menyantuni antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan agama, bangsa mahupun negara seperti ini sentiasa berkekalan.
Skuad Harimau Malaya melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mara ke perlawanan akhir piala AFF Suzuki Cup 2018 selepas menumpas pasukan Thailand pada separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok, semalam, 5 Disember
Tuan rumah iaitu Thailand telah menjaringkan gol pertama seawal minit ke-21 sebelum pemain Malaysia Syahmi Safari menyamakan kedudukan pada minit ke-28.
Pintu gol negara sekali lagi bolos pada separuh masa kedua hasil jaringan Pansa Hemviboon pada minit ke-63 namun dibidas gol cantik oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-71 berjaya menyamakan kembali kedudukan sebelum pengadil meniup wisel penamat.
Dengan kelebihan gol di tempat lawan, Malaysia mara ke final pada 11 dan 15 Disember ini menentang sama ada Vietnam atau Filipina yang akan berentap pada malam ini, 6 Disember, di Stadium My Dinh, Hanoi.
Namun begitu, apa yang menarik perhatian netizen adalah apa yang berlaku di perkarangan stadium sebelum perlawanan bermula
Semalam, viral di Twitter apabila salah seorang penyokong Thailand telah membelanja air mineral kepada penyokong pasukan Malaysia yang telah tunggu berjam-jam lamanya di bawah sinaran matahari yang panas terik.
Sudah menjadi kebiasaan semasa berlangsungnya perlawanan lebih-lebih lagi di peringkat akhir pasti masing-masing akan menunjukkan 'taring' demi mempertahankan pasukan yang disokong.
Namun apa yang berlaku benar-benar membuatkan bukan sahaja penyokong Malaysia bahkan netizen turut berasa kagum dengan sikap rakyat Thailand.