Bengang Diminta Alihkan Barang Merata Punca Suspek Lepaskan Tembakan Ke Arah Mangsa
Siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan polis Selangor.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Polis sudah mengenal pasti suspek yang terbabit dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam, Selangor baru-baru ini
Menerusi laporan, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memberitahu suspek ialah seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, berkulit cerah serta mempunyai 11 rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
"Polis sedang giat menjejaki dan berusaha untuk menangkap suspek, sementara motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Hasil siasatan mendapati mangsa dalam kejadian itu bekerja sebagai tukang cuci di dalam premis berkenaan dan ketika dia sedang menyimpan peralatan mencuci di aras P1, suspek tiba-tiba telah melepaskan empat das tembakan mengenai kaki serta punggung mangsa.
Anggota forensik menjalankan siasatan dan pemeriksaan di lokasi kejadian tembakan.
Image via Berita HarianSuspek dipercayai berang minta alihkan barang
Sementara itu, polis sudah mengenal pasti punca kejadian tembakan yang dipercayai kerana berang ditegur pekerja pembersihan supaya mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan kejadian.
Lapor Bernama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan polis Selangor dengan bantuan Bukit Aman dan beliau yakin kes berkenaan dapat selesaikan dalam masa terdekat.
"Bagaimanapun, motif sebenar tiada (dikenal pasti) lagi," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Setia City Mall kembali beroperasi seperti biasa
Dalam pada itu, Setia City Mall kembali beroperasi seperti biasa pada Ahad selepas insiden tembakan yang berlaku pada malam Sabtu.
Menerusi satu kenyataan, pusat beli-belah itu berkata ia menerima kelulusan daripada pihak berkuasa untuk meneruskan operasi sementara siasatan masih dijalankan.
“Kami menyedari insiden yang malangnya telah berlaku di Setia City Mall pada malam tadi.
"Keselamatan dan kesejahteraan para pengunjung, penyewa, serta kakitangan kami adalah keutamaan utama," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!