Berhenti Merokok Demi Anak, Lelaki Berjaya Simpan Hampir RM10k Dan Bawa Keluarga Melancong
Ini yang kita mahu!
Cuba bayangkan, duit rokok yang anda habiskan itu, anda simpan selama setahun. Berapa banyaklah agaknya ya.
Kami yakin, jumlah itu mesti mencecah ribuan Ringgit, terutamanya jika anda seorang perokok tegar.
Baru-baru ini di Taiwan, seorang lelaki berkongsi tentang keputusannya berhenti merokok selepas anak pertamanya dilahirkan. Beliau menceritakan secara terperinci tentang bagaimana beliau berhenti merokok dan menyimpan 'duit rokok' itu untuk membawa keluarganya melancong.
Menurutnya, keputusan itu dibuat demi memberi persekitaran yang baik buat anaknya dan menjadikan dirinya lebih sihat
"Saya mula meletakkan semua wang yang sepatutnya saya gunakan untuk rokok ke dalam sebuah kotak. Saya akan letak TWD50 (kira-kira RM6.60) ke dalam kotak setiap kali saya ingin membeli rokok. Akhirnya, menabung TWD50 ke dalam kotak sudah menjadi tabiat," tulisnya seperti yang dilapor China Press.
Sehingga kini, lelaki berkenaan berjaya menyimpan sekitar TWD60,000 hingga TWD80,000 (RM8,000 hingga RM10,000)
Bukan sekadar hidup lebih sihat, dia turut menggunakan wang tersebut untuk membawa isteri dan anaknya bercuti ke luar negara.
Dia juga berkata bahawa sekiranya dia tidak menyimpan semua wang tersebut, dia tetap gembira kerana menjalani gaya hidup sihat.
"Sudah lama saya tidak merokok malah sekarang, apabila saya terhidu asap rokok, saya akan pergi jauh dari situ," tulisnya lagi.