"Saya Tahu Bagaimana Seronoknya Menghembus Asap Menghalau Puaka."
Maka terbuktilah yang sakit itu penghapus dosa.
Bermacam-macam inisiatif telah dilakukan untuk membendung tabiat merokok dalam kalangan rakyat Malaysia
Bermula dari larangan remaja bawah 18 tahun untuk merokok, kempen 'Tak Nak Merokok', kursus berhenti merokok, harga rokok dinaikkan serta ilustrasi penyakit kronik pada kotak rokok, semuanya seperti tiada memberi apa-apa kesan terhadap perokok.
Mereka masih dengan tabiat dan ketagihan mereka terhadap rokok.
Namun, satu peristiwa yang berlaku kepada saudara Muhammad Luqman Ayob ini, telah membuatkan beliau berjaya berhenti merokok tanpa disangka-sangka. Beliau sudah 20 tahun merokok dan memang tidak pernah berniat untuk berhenti.
Baca perkongsian penuh beliau di bawah:
SAYA TIDAK PERNAH BERNIAT BERHENTI MEROKOK
Perkenalan saya dengan si dia bermula seawal usia 14 tahun (tahun 1997), bercinta dengan cik Dunhill 7s, cik Perrily's 25s, cik Suria dan yang melekat di hati adalah Marlboro 14 soft pack serta paling last Marlboro 20 soft pack (nampak macho ketuk soft pack sampai keluar rokok gitu). Saya bermula bukan dengan pengaruh kawan. Saya terpengaruh dengan libido mahu nampak matang dan macho serta imej 'bad boy' jejaka-jejaka SBP di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa.
Kesimpulannya, saya terpengaruh dengan lagak rakan-rakan yang nampak macho bila menghembus huruf 'O' ketika saya masih mengira bulu di kaki.
Bermula sebagai 'achai' jaga line di tandas, kemudian 'achai' fly beli rokok dan sampailah jadi senior yang pau rokok junior. Adrenalin ketika membuat senaman paru-paru dengan risiko tertangkap memang mengujakan. Degupan jantung ketika menyeludup rokok masuk ketika keluar outing memang tidak pernah dilupakan. Tambah lagi, saya dulu usahawan Maggi, jadi mudahlah saya seludup ke dalam asrama.
Alhamdulillah saya tidak pernah tertangkap atau digantung sekolah. Malah menjadi pengawas sejak form 3 (saya pun tidak tahu mengapa) sampailah form 5 saya dilucutkan jawatan dan bukan atas sebab rokok - ironi bukan?
Pada hari lahir ke-18, iaitu umur dibenarkan merokok, ayah bawa saya berjalan jalan (father and son moment di dalam kereta). Menasihatkan saya dengan umur 18 tahun jangan merokok kerana rugi dan tidak berfaedah.
Sebagai anak yang baik saya mengiyakan sahaja dengan berkata, "Baiklah ayah."
Kehidupan saya sebagai perokok yang macho diteruskan di matrikulasi, di universiti, sehinggalah ke peringkat berbisnes.
Saya selalu ditanya oleh kawan kawan, "Bila nak berhenti rokok?"
Jawapan saya selalunya, "Sudah bermula mengapa mahu berhenti?"
Saya memang tidak pernah ada niat berhenti merokok. Even bila pergi kursus pada 2012, ada sesi baling rokok tapi saya tak terusik nak baling pun. Dalam hati saya berkata, semua yang buang rokok ni poyo, semangat kejap je.
Sehinggalah 2013, saya dilanda demam, terlantar seminggu dan of course bukan sebab rokok. Yang menjadi cabaran kepada saya adalah kerana saya tidak boleh duduk saja dan sakit. Saya mesti bekerja dan oleh sebab demam tak kebah-kebah, membuatkan saya tak tahan lagi nak tinggal di rumah.
Maka pada hari ke-10 demam, saya berdoa.
"Allah kau sembuhkan aku - aku berjanji akan berhenti merokok."
Tahu jadi apa?
Esoknya saya sihat. Dan berdasarkan janji, saya patuh dan taat. Saya tidak sentuh rokok sampai saat saya menulis post ini. Alhamdulillah.
Rindu rokok? Tidak pernah.
Susah nak tinggalkan rokok? Senang je.
Nak merokok balik? Tidak pernah terfikir.
Apa saya dapat lepas berhenti merokok?
Satu, poket sentiasa ada duit. Dua, terasa ringan otak kerana dulu bila sangap rokok kena cari mana tempat makan jual rokok (kalau tak ada kawan nak pau). Ketiga, mudah didampingi kerana saya tidak berbau rokok. Keempat, boleh rasa rezeki lebih mudah sampai dan tidak disekat-sekat. Kelima, susah nak sakit.
Bila saya jadi quitter. Saya juga sedar satu perkara.
Orang merokok ni banyak buang masa.
Nak masuk kereta merokok.
Nak keluar kereta merokok.
Berak nak rokok.
Lepas makan nak rokok.
Nak mula meeting nak rokok.
Lepas meeting nak rokok.
Semua rokok.
Dan bila orang kata susahnya nak berhenti. Tipu.
Sebab anda tidak berhenti adalah kerana anda tidak berhenti kerana Allah.
Pernah minta Allah bantu untuk anda berhenti merokok?
Saya pernah. Dan Allah bantu saya.
Saya bukan nak positionkan diri buat seminar berhenti merokok atau jadi ustaz yang anda cari selama ini. Saya berkongsi kisah saya dan si dia, 20 tahun saya merokok dan saya berhenti begitu saja. Lepaskan kisah cinta saya dan move on dengan hidup saya.
Mengapa kisah cinta?
Kerana bibir saya bertemu bibir si dia lebih banyak dari bibir isteri saya.
Dan jika anda kawan saya dan anda masih merokok lagi. Go on - Kita masih kawan. Saya tidak letakkan rokok sebagai tanda kawan kita.
Saya pernah merokok jadi saya tahu bagaimana seronoknya menghembus asap menghalau puaka.
Saya berdoa agar Allah akan bantu anda stop dan jadi macho secara sihat.