Selamat Diijab Kabul Jam 11.30 Malam, Wanita Kongsi Pengalaman 'Nikah Koboi' Susulan PKP
"Ayah suruh mai nikah malam ni juga."
Kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika ini susulan penyebaran wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan
Susulan daripada perintah tersebut, sebilangan sektor perniagaan dan kesemua aktiviti sosial terpaksa dibatal dan ditangguhkan buat sementara waktu.
Bahkan sepanjang tempoh ini dilaksana, majlis perkahwinan juga terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu bagi mengikut arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan.
Namun begitu, ada juga pasangan yang meneruskan upacara akad nikah secara kecil-kecilan mengikut syarat dan peraturan yang telah ditetapkan ketika perintah ini berlangsung.
Seperti sebuah perkongsian yang dibuat seorang wanita di laman Facebook, dia menceritakan semula pengalamannya melangsungkan 'nikah koboi' bersama suami tersayang minggu lalu
Perkongsian kisah ini telah dibuat oleh seorang pengguna Facebook bernama Nurul Syamimi Ibrahim dan ia telah mendapat lebih daripada 3 ribu shares ketika artikel ini ditulis.
Menurut wanita yang kini sudah sah menjadi isteri kepada individu bernama Saufi Aqmar Rostam, upacara pernikahannya telah berlangsung dengan suasana yang begitu ringkas dan cepat.
Malah apa yang lebih lain dari yang lain, kata wanita ini mereka telah selamat diijabkabulkan pada jam 11:30 malam 20 Mac yang lalu.
Untuk perkongsian penuh, teruskan membaca di bawah:
Kata Nurul Syamimi, upacara pernikahan yang dilangsungkan antara dia dan suami berubah 360 darjah dari yang telah dirancang oleh mereka
Tiada photographer, tiada baju nikah, tak bawa hantaran, pergi rumah tok kadi dengan pakai selipar. Sebab Allah sebaik-baik perancang. Detik pernikahan yang ternyata 360 darjah tidak mengikut apa yang dirancang.
Asalnya rancang nikah 27.03, majlis 28.03. Disebabkan perintah kawalan pergerakan, majlis ditunda dan nikah akan diawalkan kpd 21.03.
Bridal habis bayar (pakej nikah+majlis), catering dah bayar separuh, goodies dah settle tinggal nak tunggu majlis sahaja. Jadi bila keadaan ini berlaku, semua yang dibooking terpaksa ditunda dan of course bridal pun tak berani nak buat perkhidmatan bagi pakai baju nikah. Maka, ini lah jadinya.. kita pakai je baju recycle.
20 MAC 2020(Jumaat) *tarikh kami bernikah.
Selepas maghrib, dapat WhatsApp daripada suami "awak, esok kita boleh ke bernikah ni?" Dengan bagi satu document pekeliling daripada Jabatan Agama Islam Johor yang menyatakan start 21.03 sampai 31.03, segala majlis pernikahan perlu ditangguhkan.
Dapat dokumen tu terus bagi pada ayah, ayah pun apa lagi terus guna kuasa veto-nya call tok kadi minta tok kadi nikahkan kita malam ni juga. Ayah call suami untuk siap terus tak payah bawa apa-apa barang (hantaran), bawa diri je datang rumah mai nikah malam ni juga.
Cerita wanita ini, dia dan suami telah selamat dinikahkan pada jam 11:30 malam dengan sekali lafaz sahaja
Tepat jam 1130 mlm, alhamdulillah dengan sekali lafaz, kami sah menjadi suami isteri di umah tok kadi yang hanya dihadiri oleh 2 orang saksi, wali , juru nikah , pengantin lelaki dan perempuan dan selitlah ibu sekali. Ye, memang ribut kelam kabut seiring dengan perangai kita yang kelam kabut ni.
Pukul 8 dapat tahu pekeliling, pukul 11 lari pergi rumah tok kadi dan merasalah kita nikah yang betul-betul simple, dengan tak prepare apa-apa malam tu. Dapat masakkan bihun goreng je untuk tetamu daripada pihak suami yang hanya datang 3 orang sahaja.. haa sempoi kan?
Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Syukur sebab segalanya dah selesai. Dengan tarikh nikah yang berubah dua kali disaat akhir, dengan sesimple-simple ni dapat rasa keberkatanNya.
Baik sangat Allah. Pada awalnya terasa beratnya ujian ni, majlis terpaksa ditunda dengan gelisah hati keadaan sekarang takut tak dapat nikah, tapi rupanya Allah nak bagi kami nikah lagi awal dan jatuh pada Hari Jumaat.