Budaya Menghukum Perlu Dihenti, Sokong Komuniti Usahawan Tempatan Bangkit Dari Kegagalan
Lebih 200 usahawan sertai Inner Circle Meeting ICM RichWorks di Johor Bahru baru-baru ini.
Cover image via RichworksFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ketika budaya media sosial semakin dipenuhi dengan kecenderungan menghukum dan menghakimi seseorang berdasarkan episod kegagalan, Pengasas RichWorks Consulting Group (RCG) dan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman mengingatkan bahawa masyarakat perlu lebih matang dalam menilai perjalanan sesebuah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kerana kejatuhan bukanlah pengakhiran kepada sebuah perniagaan, sebaliknya sebahagian daripada realiti yang dihadapi oleh hampir setiap usahawan yang berani membina sesuatu
Katanya, apa yang lebih membimbangkan hari ini ialah wujud budaya yang terlalu cepat menghukum apabila sesebuah syarikat berdepan cabaran.
"Ramai tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir, tekanan yang ditanggung oleh pemilik syarikat, keputusan sukar yang terpaksa dibuat serta pengorbanan yang dilakukan untuk mempertahankan perniagaan dan mata pencarian ramai pekerja.
"Ramai hanya melihat apabila sebuah syarikat jatuh, tetapi mereka tidak melihat berapa lama syarikat itu dibina, berapa banyak kegagalan yang telah dilalui sebelum berjaya, berapa ramai pekerja yang bergantung kepada syarikat itu dan berapa ramai ahli keluarga yang sama-sama berkorban sepanjang perjalanan tersebut," katanya.

Lebih 200 usahawan kini mengikuti Inner Circle Meeting (ICM) Johor yang memberi fokus kepada transformasi kepimpinan, pembinaan sistem perniagaan, strategi pertumbuhan dan penyelesaian isu sebenar yang sedang dihadapi syarikat masing-masing supaya mereka lebih bersedia menghadapi perubahan landskap ekonomi dan industri.
Bukan itu saja, penulis 14 buku antarabangsa bersama bapa marketing moden, Philip Kotler dan pengasas firma perkhidmatan profesional Indonesia, PenMCorp (MarkPlus) dalam konsultasi pemasaran, marketing consulting, penyelidikan dan latihan, Bapak Hermawan Kartajaya turut berkongsi insight terbaru yang boleh membantu usahawan pada waktu ini.
Tambah beliau, apabila sesebuah syarikat berdepan masalah, kesannya bukan sekadar kepada pemilik, malah turut melibatkan pekerja, pembekal, pelanggan dan keluarga yang bergantung kepada kelangsungan perniagaan tersebut. Justeru, setiap komen atau persepsi yang disebarkan tanpa fakta juga memberi kesan kepada ramai pihak yang tidak bersalah.
"Sepanjang hampir dua dekad membimbing komuniti usahawan, saya tidak pernah melihat sebuah syarikat gagal hanya kerana satu faktor kerana prestasi sesebuah perniagaan dipengaruhi oleh gabungan pelbagai perkara termasuk perubahan ekonomi, aliran tunai, persaingan pasaran, teknologi, kepimpinan organisasi, disiplin pelaksanaan serta keputusan yang dibuat oleh driver kepada syarikat itu sendiri.
"Ramai mencari siapa yang hendak dipersalahkan apabila sebuah syarikat jatuh, sedangkan soalan yang lebih penting ialah apa yang telah berubah dalam pasaran, apa keputusan yang telah dibuat oleh syarikat dan sejauh mana driver kepada syarikat itu bersedia berubah apabila dunia di sekelilingnya berubah," jelasnya.
Peranan mentor dan perubahan kepimpinan syarikat
Beliau menjelaskan bahawa seorang mentor tidak pernah mempunyai kuasa untuk menjamin seseorang usahawan akan berjaya sepanjang hayat kerana dunia perniagaan sentiasa berubah. Namun, peranan mentor adalah membina cara berfikir, kepimpinan, disiplin, strategi dan daya tahan supaya seseorang usahawan mempunyai keupayaan untuk bangkit apabila diuji.
"Seorang mentor boleh menunjukkan jalan, tetapi yang memegang stereng tetap driver kepada syarikat itu sendiri kerana setiap keputusan berkaitan operasi, kewangan, pengambilan pekerja, pelaburan dan hala tuju syarikat akhirnya ditentukan oleh pemilik serta barisan kepimpinan organisasi.
"Sebab itu RichWorks sentiasa memberi penekanan bahawa transformasi sesebuah syarikat bermula daripada transformasi driver kerana apabila pemimpin berubah daripada segi cara berfikir, disiplin, kepimpinan dan keberanian membuat keputusan, organisasi juga akan mula berubah.
"Cabaran sebenar PMKS hari ini bukan semata-mata ekonomi, tetapi apabila driver kepada syarikat berhenti belajar sedangkan pelanggan berubah, teknologi berubah dan pasaran berubah setiap hari," ujarnya.

Beliau berkata, masyarakat juga perlu melihat perjalanan usahawan secara menyeluruh dan bukannya memilih hanya satu kisah yang sesuai dengan sesuatu naratif kerana sepanjang hampir dua dekad RichWorks membimbing komuniti usahawan, terdapat ribuan kisah yang membawa pengajaran berbeza.
"Antara contoh yang saya sendiri saksikan ialah perjalanan Pengasas Momentum Iyziq, Najib Asaddok yang pernah melalui episod kejatuhan besar sebelum bangkit semula dan kembali mencatatkan jualan jutaan ringgit sebulan manakala usahawan pendidikan PTTI, Miss Fana (Siti Farhana Abu Osman) pula membuktikan bahawa apabila driver terus berkembang, organisasi juga mampu berkembang sehingga membina antara empayar pendidikan tuisyen paling berjaya di negara ini.
"Selain itu, Dr. Kartika Wati Mohamed pula pernah melalui fasa yang hampir menutup syarikatnya sebelum berjaya mentransformasikan Eskayvie menjadi antara jenama kesihatan tempatan yang dikenali ramai," tegasnya.
Azizan memberitahu, ketiga-tiga kisah itu mempunyai jalan cerita yang berbeza, namun satu perkara yang sama ialah mereka memilih untuk terus belajar, menerima teguran, mengubah strategi dan tidak berhenti bertindak walaupun berdepan cabaran yang besar.
Pendirian undang-undang terhadap kenyataan palsu
Dalam perkembangan sama, RCG menegaskan bahawa pihaknya menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan dan kritikan secara bertanggungjawab, namun kebebasan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan maklumat yang tidak benar, membuat tuduhan tanpa asas atau menerbitkan kandungan yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi individu dan organisasi.
"Berdiam diri tidak bermaksud kami tidak mengambil tahu kerana kami sentiasa memantau setiap komen, hantaran, video dan dakwaan yang melibatkan RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman serta komuniti usahawan kami.
"Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan fitnah atau kenyataan palsu yang menyalahi undang-undang, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya melalui saluran perundangan bagi melindungi hak serta reputasi organisasi.
"Kami percaya, masyarakat Malaysia mampu menjadi komuniti yang lebih matang dengan memilih untuk mendoakan, menyokong dan belajar daripada pengalaman usahawan yang sedang diuji kerana sejarah membuktikan bahawa hampir setiap syarikat hebat di dunia pernah melalui saat paling sukar, namun yang membezakan mereka ialah keberanian untuk bangkit semula, bukannya hakikat bahawa mereka pernah jatuh," jelasnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


