Cemerlang Atasi Covid-19, Dr. Dzulkefly Akan Kembali Ke Kabinet Sebagai Menteri Kesihatan?
Kalau betul pun apa salahnya.
Bekas Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad semakin mendapat tempat serta kepercayaan daripada rakyat selepas prestasi memberangsangkannya dalam menangani wabak Covid-19 di negara ini
Beliau yang merupakan pengarah strategi Amanah bagaimanapun mungkin tidak lagi mampu memegang jawatan itu semula di kabinet selepas Malaysia kini diterajui oleh sebuah gabungan parti baru, iaitu Perikatan Nasional.
Namun memetik laporan Malaysiakini, Dzulkefly dilihat seakan mempunyai potensi untuk menjawat semula jawatan itu di kabinet selepas ini.
Menurut laporan portal tersebut, beberapa pihak termasuk dari kalangan pemimpin dari Perikatan Nasional mencadangkan agar beliau kembali memegang jawatan itu
Bagi menjawab perkara itu, Dzulkefly memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa pada ketika ini beliau hanya mahu menunggu surat rasmi terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang respon.
"Saya mahu menunggu surat rasmi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang maklum balas.
"Saya perlu melihat terma dan syarat terlebih dahulu, sama ada ia benar-benar 'khidmat negara'.
"Pertaruhannya juga tinggi untuk saya," katanya ketika dihubungi portal tersebut.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa setakat ini cadangan tersebut sekadar khabar angin dan dirinya tidak pernah mendengar cadangan rasmi.