CEO Astro, Rohana Rozhan Letak Jawatan

Beliau telah bersama Astro selama 20 tahun.

Datuk Rohana Rozhan telah meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings, kata pengendali televisyen satelit itu dalam satu kenyataan

Image via Variety

Perletakan jawatannya akan berkuatkuasa mulai 31 Januari 2019, namun begitu beliau tetap akan kekal disana sebagai Pengarah Bukan Eksekutif.

Datuk Rohana yang telah bersama Astro selama 20 tahun bakal digantikan oleh Ketua Pegawai Kandungan dan Konsumer Kumpulan Astro (GCCCO), Henry Tan.

"Rohana merupakan pemimpin yang memberi inspirasi kepada semua di Astro, setelah memimpin pasukan dalam menetapkan banyak perkara dan tonggak utama bagi industri media di Malaysia.

"Kami menghormati keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan mengharapkan yang terbaik juga masa hadapan yang cerah kepadanya," kata Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi dalam satu kenyataan.

Sehari sebelum peletakan jawatan Datuk Rohana, laman berita teknologi Lowyat.net telah melaporkan sebanyak lebih 50,000 maklumat peribadi pelanggan Astro bocor dan ditawarkan untuk dijual dalam talian

Image via Sayang Sabah

Rekod maklumat peribadi tersebut didakwa telah ditawarkan pada kadar RM3,000 untuk 10,000 orang pelanggan, termasuk nama, alamat, nombor MyKad, nombor telefon dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, terdapat sumber yang menyatakan perletakan jawatan Datuk Rohana tiada kaitan dengan pelanggaran atau kebocoran data ini, juga tiada kena mengena dengan 'pembersihan' ketua eksekutif syarikat berkaitan kerajaan.

"Tidak, ia tidak ada hubungannya sama sekali dengan perletakan jawatan beramai-ramai Ketua Pegawai Eksekutif. Tiada kaitan dengan (kebocoran data) juga," kata sumber itu kepada Malay Mail.

Memetik laporan Malay Mail juga, Datuk Rohana dikatakan meninggalkan kedudukannya yang tinggi untuk 'mengejar matlamat lain'.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Leave a comment