PM Mahu Projek HSR Batal: "Tidak Akan Menguntungkan Walau Satu Sen!"
Walau bagaimanapun, kerajaan masih belum membincangkan perkara ini dengan Singapura.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura akan dibatalkan kerana ia tidak memberi manfaat kepada negara
Menurut laporan dari Channel News Asia, Tun Mahathir berkata, "Ia tidak memberi manfaat, ia akan menelan kita sejumlah wang yang besar, dan kita tidak akan membuat sebarang wang (keuntungan) dari pengaturan ini."
Perkara ini telah dimaklumkan dalam satu sidang akhbar pada 28 Mei lalu.
Walaupun kerajaan Malaysia belum membincangkan perkara ini dengan Singapura, Free Malaysia Today melaporkan Malaysia mungkin perlu membayar pampasan RM500 juta untuk membatalkan projek itu
“Itu (keputusan menamatkan projek) adalah keputusan akhir. Kita ada perjanjian dengan Singapura, saya diberitahu (pampasan sebanyak) 500 juta, saya perlu jelaskan di sini, ia tidak beri manfaat," jelas Tun Mahathir.
Perdana Menteri walau bagaimanapun tidak pasti sama ada pampasan itu adalah dalam bentuk Ringgit Malaysia atau Dollar Singapura.
Pada satu pengumuman oleh bekas Perdana Menteri, DS Najib Razak pada 2010, penganalisis pada mulanya menganggarkan bahawa pembinaan projek HSR KL-Singapura akan menelan kos antara USD13 bilion (RM51.76 bilion) kepada USD15 bilion (RM59.72 bilion)
Perkhidmatan landasan itu bertujuan memotong waktu perjalanan antara KL dan Singapura hingga 90 minit dan dijadualkan memulakan operasi pada tahun 2026.
Laluan 350km akan mempunyai sebanyak lapan stesen dirancang - Bandar Malaysia, Sepang-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri - dengan menjadikan Stesen Jurong East di Singapura sebagai stesen terakhir.
Tun Mahathir sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk menggugurkan projek itu dalam temu bual dengan Financial Times, mengatakan bahawa ianya tidak menguntungkan
Tun Mahathir menjelaskan bahawa langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan pemotongan perbelanjaan dan pelaburan kerajaan bagi "mengelakkan negara diisytiharkan muflis".
“Kerajaan perlu mengetepikan beberapa projek yang tidak perlu, misalnya projek HSR yang menyebabkan kerajaan Malaysia berbelanja RM110 bilion, dan tidak akan menguntungkan walau satu sen,” katanya.
Dalam temu bual yang sama, Tun Dr Mahathir menambah bahawa kerajaan juga akan mengkaji dan merunding semula "perjanjian tidak sama rata" dengan kerajaan China, seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menelan kos USD14 bilion (RM55.72 bilion)
Perdana Menteri juga memberitahu Financial Times bahawa banyak projek besar serta agensi kerajaan yang ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu "tidak perlu" sama sekali.
"Kebanyakannya, ia cuba membuat Perdana Menteri menjadi popular dan ia menelan kos berbilion-bilion dolar," katanya.
Dalam satu laporan oleh Malay Mail, Tun Mahathir menganggarkan bahawa Malaysia boleh mengurangkan hampir satu perlima daripada hutang dan liabiliti negara RM1 trilion dengan menggugurkan projek itu.
Baru-baru ini, dalam satu kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DS Abdul Rahman Dahlan mendakwa negara akan kehilangan pendapatan sebanyak RM209 bilion dalam Pendapatan Negara Kasar (GNI) selain 70,000 peluang pekerjaan jika projek HSR dibatalkan
Tun Mahathir membidas kenyataan tersebut dengan meminta supaya Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu untuk mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya.
"Bolehlah dia tunjuk bukti (tentang HSR)...bila kita kata kerajaan hilang RM1 trilion (jumlah hutang negara), kita ada bukti dan dokumen yang menunjukkan kita hilang (jumlah itu).
"Tapi dia cakap mulut sahaja...suruh dia tunjuk bukti, di mana dan bagaimana," tambahnya lagi.