China Dakwa 'Swab Test' Di Dubur Lebih Tepat Untuk Kesan Virus Covid-19
Kaedah itu lebih tepat untuk mengesan Covid-19 berbanding ujian calitan tekak dan hidung.
China mula melaksana saringan Covid-19 menerusi kaedah calitan atau swab test di dubur, ke atas individu berisiko tinggi dijangkiti wabak itu
Menurut laporan, pihak berkuasa menggunakan kaedah itu ke atas penduduk kawasan yang disahkan terdapat kes positif virus terbabit di zon merah, selain melaksanakan proses sama ke atas individu yang ditempatkan di pusat kuarantin.
Doktor kanan dari Hospital You'an, Li Tongzeng berkata pengesanan virus menggunakan kaedah itu terbukti lebih berkesan, berbanding swab test tekak dan hidung.
Katanya, kadar pengesanan lebih tinggi kerana virus itu berada lebih lama di bahagian dubur, berbanding di saluran pernafasan.
Begitupun, swab test di hidung dan tekak akan tetap menjadi kaedah paling popular kerana ia mudah serta pantas dilakukan
“Sudah tentu, calitan dubur tidak semudah swab test tekak maka ia hanya digunakan terhadap individu di kawasan kuarantin utama.
“Kaedah ini juga membantu mengurangkan hasil ujian positif palsu,” kata pegawai tempatan, Li Tongzeng.
Ujian tersebut melibatkan pelapik dimasukkan sedalam 3 hingga 5 sentimeter ke dalam rektum untuk mendapatkan sampel.
“Kami mendapati bahawa koronavirus berkumpul lebih banyak dan bertahan lama di saluran pencernaan berbanding saluran pernafasan pesakit,” ujarnya.
Sementara itu, penggunaan kaedah terbabit mendapat reaksi berbeza dalam kalangan pengguna media sosial di China
"Saya amat beruntung dapat pulang awal ke China. Risiko rendah tetapi amat memalukan (jika dicalit di dubur)," menurut seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi pengguna media sosial turut menjadikan penggunaan kaedah itu sebagai bahan jenaka.
"Saya menjalani dua calitan. Setiap satu calitan dubur, jururawat akan melakukan calitan di tekak. Saya risau jika jururawat terlupa menukar kapas pencalit baru," katanya.