Christy Ng Menang Saman Kes Fitnah, Nekad Derma RM180,000 Pampasan Pada Badan Amal
Antara dakwaan fitnah ialah Christy Ng tidak jujur, mengeksploitasi pekerja, bersikap hipokrit dan menindas pekerja.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Usahawan fesyen terkenal, Christy Ng, dan syarikatnya Christy Ng Sdn Bhd berjaya memenangi kes saman fitnah apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan pengendali akaun Threads @archnionverse membayar ganti rugi sebanyak RM180,000
Menurut laporan New Straits Times, selain jumlah tersebut, defendan, J. Vikneshvra Rau, turut diarahkan membayar faedah, kos guaman sebanyak RM10,000, serta membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi tiga akhbar dan semua akaun media sosial miliknya.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Christy Ng dan syarikatnya, keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi sebelum ini merekodkan penghakiman ingkar (default judgment) pada 13 Februari yang memihak kepada mereka.
Mahkamah mendapati defendan bertanggungjawab atas kesalahan fitnah, gangguan (harassment) serta campur tangan secara tidak sah terhadap perdagangan dan perniagaan syarikat berkenaann

Ketika menentukan jumlah ganti rugi, mahkamah mengambil kira tahap keseriusan dakwaan yang dibuat, penyebaran kandungan yang meluas, reputasi Christy Ng dan syarikat, selain tingkah laku defendan sepanjang kes berlangsung.
Mahkamah turut menyatakan tiada sebarang bukti menunjukkan Christy Ng atau syarikatnya melakukan provokasi atau salah laku yang boleh mengurangkan jumlah pampasan.
Dakwaan sentuh integriti peribadi dan kepercayaan pelanggan
Mahkamah juga mengiktiraf reputasi Christy Ng sebagai usahawan terkenal yang mempunyai lebih sejuta pengikut di media sosial, pernah menerima pelbagai anugerah industri dan mengasaskan syarikat yang beroperasi di peringkat serantau.
Antara dakwaan fitnah yang dibangkitkan termasuk tuduhan bahawa Christy Ng tidak jujur, mengeksploitasi pekerja serta individu kreatif, bersikap hipokrit, mengamalkan etika perniagaan yang tidak baik dan menindas pekerja.
Menurut mahkamah, tuduhan tersebut memberi kesan besar terhadap integriti peribadi Christy Ng selain menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap syarikatnya. Mahkamah turut mengambil kira tindakan defendan selepas hantaran itu diterbitkan.

Antara perkara yang disentuh ialah penggunaan akaun tanpa identiti sebenar, menggalakkan komen berunsur fitnah daripada pengguna lain, mewujudkan akaun kedua bagi menafikan penglibatan serta menggambarkan dirinya sebagai mangsa.
Defendan juga didakwa menggunakan platform kutipan dana awam (crowdfunding) yang secara tidak langsung mengulangi serta mengukuhkan dakwaan fitnah tersebut.
Mahkamah menyifatkan tindakan itu sebagai dirancang, berterusan dan bertujuan merosakkan reputasi Christy Ng serta syarikatnya, selain cuba meraih keuntungan daripada kontroversi berkenaan.
Atas sebab itu, mahkamah turut memberikan ganti rugi teladan (exemplary damages) bagi menghukum dan menghalang perbuatan seumpama itu daripada berulang.
Christy Ng mahu sumbangkan wang pampasan kepada badan amal
Dalam kenyataan sama, Christy Ng menjelaskan saman tersebut bukan bertujuan mendapatkan keuntungan, sebaliknya bagi mempertahankan kebenaran, melindungi pekerja serta menjaga kepercayaan pelanggan dan rakan perniagaan.
Beliau berkata sekiranya defendan melunaskan keseluruhan jumlah yang diperintahkan mahkamah, wang pampasan itu akan disalurkan kepada badan kebajikan.
"Kami lebih rela hasil pampasan ini memberi manfaat kepada masyarakat berbanding digunakan untuk kepentingan kami sendiri," katanya.
Beliau turut berharap keputusan mahkamah itu menjadi peringatan bahawa setiap individu berhak menyuarakan pendapat, namun tiada siapa mempunyai hak untuk menyebarkan dakwaan palsu dan memfitnah tanpa berdepan akibat undang-undang.
Christy Ng menegaskan beliau sentiasa terbuka menerima kritikan dan akauntabiliti, tetapi tidak akan bertolak ansur terhadap fitnah.
Dalam prosiding tersebut, Christy Ng dan syarikatnya diwakili peguam Foong Cheng Leong serta Rachel Tan Yi Ling, manakala defendan tidak diwakili peguam.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via