Cipta Momen Bersejarah, Bapa & Anak Perempuan Berkongsi Kokpit Penerbangan Yang Sama
Seronoknya anak-beranak kerja dalam bidang yang sama.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang juruterbang berpengalaman tidak dapat menyembunyikan rasa bangga apabila berpeluang berkongsi kokpit bersama anak perempuan sulungnya buat kali pertama, namun kedua-duanya tetap mengutamakan profesionalisme sepanjang penerbangan
Kapten Batik Air Malaysia, Razali Abdul Aziz, 53, berkata pengalaman istimewa itu berlaku ketika mengendalikan penerbangan Kuala Lumpur-Colombo-Kuala Lumpur pada Isnin lalu bersama anaknya, Fatin Dayini, 26, yang kini bertugas sebagai pembantu juruterbang.
Menurut laporan Kosmo!, Razali berkata, sebaik sahaja pintu kokpit ditutup, mereka menjalankan tugas seperti biasa tanpa membiarkan emosi mempengaruhi tanggungjawab sebagai kru penerbangan.
"Apabila pintu kokpit ditutup, kami menjalankan tanggungjawab secara profesional seperti mana-mana kru penerbangan lain," katanya.

Walaupun mengakui berasa bangga, terharu dan sedikit janggal kerana bekerja bersama anak sendiri, beliau menegaskan aspek keselamatan, kelancaran penerbangan serta keselesaan penumpang sentiasa menjadi keutamaan
Difahamkan, Razali mula bergelar juruterbang pada tahun 1996 selepas memperoleh Diploma Penerbangan dan Lesen Juruterbang Pengangkutan Udara (ATPL) di Australian Air Academy, Australia. Sepanjang lebih 30 tahun dalam industri, beliau telah merekodkan lebih 18,500 jam penerbangan dan kini menerbangkan pesawat Boeing 737.
Menurutnya lagi, minat Fatin terhadap dunia penerbangan sudah terserlah sejak zaman persekolahan di MRSM apabila sering bertanyakan pelbagai perkara mengenai kapal terbang dan gemar melihat bahan-bahan penerbangan miliknya.
Antara detik paling bermakna sepanjang penerbangan tersebut ialah apabila beliau dapat membimbing anaknya mengendalikan proses berlepas dan mendarat dengan penuh yakin.
Bagi Razali, pengalaman itu bukan sekadar berkongsi kokpit, tetapi menyaksikan sendiri legasi yang dibinanya selama puluhan tahun diteruskan oleh generasi seterusnya.
"Ia satu kepuasan yang sukar digambarkan apabila melihat anak mampu melaksanakan tugas dengan baik," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via