Damansara Ada Berapa Banyak Sebenarnya? Ini Sejarah Setiap Bandarnya
Orang Damansara tak pening ke?
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Damansara boleh disifatkan sebagai antara nama tempat yang paling dikenali di Lembah Klang, bahkan banyak kawasan kejiranan dan bandar berkongsi nama yang sama di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor
Tetapi pernahkah anda tertanya-tanya berapa banyakkah Damansara yang ada, dan bagaimana setiap satunya wujud?
Seperti yang mungkin sudah anda tahu, nama Damansara dipercayai berasal daripada kesalahan ejaan perkataan asal 'Damar Sara'. 'Damar' merujuk kepada resin yang diekstrak daripada pokok tropika, manakala 'Sara' bermaksud berharga atau penting dalam bahasa Sanskrit.
Asal usul tersebut dikatakan berlaku semasa pelaksanaan sistem tanah Torrens pada tahun 1891 di bawah tadbir urus Residen British dan pendaftar tanah Selangor, Sir William Maxwell.
Seorang pendaftar dilaporkan tersilap menganggap huruf 'r' sebagai 'n' dan secara tidak sengaja menggabungkan nama dua perkataan asal tersebut. Itulah sebabnya peta sebelum tahun 1891 merujuk kawasan itu sebagai Damar Sara.
Lebih daripada satu abad kemudian, Damansara tidak lagi merujuk kepada satu lokasi sahaja. Hari ini, anda bercakap mahu ke Damansara kekeliruan mungkin akan muncul mempersoalkan bandar yang mana satu?

Untuk meleraikan kekeliruan itu, berikut adalah sejarah ringkas beberapa kawasan Damansara yang terdapat di seluruh Lembah Klang:
1. Damansara Kim, SS20
Dibangunkan oleh: Tan Lai Kim Group
Disiapkan pada: 1983
Terkenal dengan: Rumah landed lama dan rumah-rumah kedai
Perbandaran ini dibangunkan oleh Tan Lai Kim Group, menjelaskan dari mana datanganya nama 'Kim' itu.
Di laman web pemaju hartanahnya, kumpulan syarikat tersebut memaklumkan telah membangunkan Damansara Kim di SS20, yang terdiri daripada rumah kedai tiga tingkat, rumah kedai dua tingkat, dan rumah teres dua tingkat.
Selepas kemelesetan ekonomi pada pertengahan 1980-an, kumpulan itu menstruktur semula untuk memperkemas aktiviti perniagaannya kepada pelbagai bahagian berfungsi untuk kecekapan. Melalui usaha itu, Capital Land Sdn Bhd menjalankan semua projek pembangunan kumpulan berkenaan.
Hari ini, ia merupakan kawasan kediaman yang matang, walaupun ada pihak kadangkala menggambarkan SS20 sebagai sebahagian daripada kawasan Damansara Utama yang lebih luas.



2. Damansara Utama, SS21
Dibangunkan oleh: See Hoy Chan Sdn Bhd Group
Dibangunkan pada: Pertengahan 1970-an
Terkenal dengan: Uptown, the Starling, lot-lot kedai, pejabat, kafe, rumah landed
Damansara Utama merupakan kawasan yang paling ramai orang kaitkan dengan nama lainnya, Damansara Uptown.
Di laman web See Hoy Chan Sdn Bhd Group, pemaju tersebut menyatakan Damansara Utama sebagai salah satu kisah kejayaan mereka, bersama-sama dengan pembangunan lain, termasuk Taman Paramount, Taman Bahagia, dan Damansara Jaya.
Dengan sejarah lebih 80 tahun, EdgeProp melaporkan bahawa kumpulan itu membangunkan Damansara Uptown dengan hampir 3,000 rumah teres, rumah separa berkembar, banglo dan lebih 300 rumah kedai.
Bahagian kediaman kebanyakannya adalah rumah landed, manakala Uptown menjadi pusat komersial yang dipenuhi dengan bank, restoran, kafe, pejabat dan mercu tanda yang lebih baharu seperti The Starling dan UPtown 8.
Damansara Uptown juga merupakan pekan terletak bersebelahan Bandar Utama yang terkenal dengan mercu tanda lokasi membeli-belah dan kediaman.
Walau bagaimanapun, kedua-dua kawasan itu dibangunkan oleh See Hoy Chan Sdn Bhd Group, yang diasaskan oleh mendiang Tan Sri Teo Soo Cheng, lapor The Edge. Hari ini, perniagaan kumpulan itu diterajui oleh anak lelakinya, Tan Sri Teo Chiang Kok, termasuk pusat beli-belah 1 Utama dan pekan-pekan sekitarnya.


3. Damansara Jaya, SS22 dan SS22A
Dibangunkan oleh: Paramount Garden, yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada kumpulan See Hoy Chan Sdn Bhd
Dibangunkan pada: Pertengahan 1970-an
Terkenal dengan: Atria Shopping Gallery, lot kedai, sekolah, perumahan landed
Damansara Jaya muncul sejurus selepas Damansara Uptown. Menurut The Edge, ia dibangunkan oleh Paramount Garden, yang pada mulanya merupakan sebahagian daripada See Hoy Chan, pada pertengahan 1970-an.
Ia terdiri daripada SS22 dan SS22A, dan mempunyai kira-kira 2,000 residensi dan komersial.
Mercu tandanya yang paling terkenal ialah Atria Shopping Gallery, manakala lot kedai di sekitarnya terkenal dengan makanan, pusat tuisyen, pejabat dan kejiranan perniagaan yang telah lama beroperasi.



4. Ara Damansara, PJU1A
Dibangunkan oleh: Sime Pilmoor Development Sdn Bhd, syarikat di bawah Sime Darby
Dibangunkan sejak: 1999
Terkenal dengan: Perbandaran terancang, rumah berpagar, kondominium, pusat perubatan, pusat beli-belah
Ara Damansara dibangunkan sejak tahun 1999 oleh Sime Pilmoor Development, sebuah syarikat Sime Darby.
Ia dirancang sebagai sebuah perbandaran besar seluas kira-kira 739 ekar, dengan gabungan rumah landed, kawasan berpagar, kondominium, residensi berservis, kawasan komersial dan kemudahan seperti Citta Mall, Oasis Square, Pusat Perubatan Ara Damansara serta akses LRT.
Perbandaran ini terletak di sepanjang Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, yang menyediakan akses terus ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang.


5. Sunway Damansara, PJU3
Dibangunkan oleh: Sunway City Bhd dan PKNS
Bermula sejak: 1995
Terkenal dengan: Rumah mewah seperti Sunway Rymba Hills dan Laman Impian Garden Villas, zon perindustrian dan kafe khusus serta restoran stik yang beroperasi dari lot-lot kilang
Sunway Damansara terletak di antara Mutiara Damansara dan Damansara Utama di sebelah timur, dan Kota Damansara dan Tropicana Indah di sebelah barat.
Kawasan ini tidak mempunyai mercu tanda yang spesifik, selain daripada pembangunan kediaman Palm Spring yang sering dilihat oleh pengguna jalan raya dan MRT semasa melalui Persiaran Surian.


6. Kota Damansara
Dibangunkan oleh: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
Dibangunkan sejak: 1992
Terkenal dengan: IOI Mall Damansara, perbandaran besar, MRT, pusat komersial, hutan simpan
Sejarah Kota Damansara terikat dengan bekas Hutan Simpan Sungai Buloh, tanah seluas 16,284 ekar yang diwartakan untuk pemuliharaan.
Menurut Malaysiakini, 3,954 ekar telah diperuntukkan kepada PKNS untuk perbandaran Kota Damansara pada tahun 1992. Setahun kemudian, kerajaan negeri ketika itu mengeluarkan 995 ekar daripada hutan simpan untuk taman botani.
Projek itu kemudiannya dibatalkan demi pembangunan, mencetuskan protes yang berlarutan selama beberapa dekad sebelum ia diwartakan pada tahun 2010 sebagai hutan simpan kekal, dikategorikan sebagai hutan kemudahan, penyelidikan dan pendidikan.
Hari ini, kawasan Kota Damansara telah berkembang menjadi salah satu perbandaran terbesar di PJ yang memiliki nama Damansara, dengan pelbagai bahagian, stesen MRT, sekolah, pusat komersial dan Hutan Simpan Komuniti Kota Damansara.
Sementara itu, Dataran Sunway, kawasan kedai yang kebanyakan orang kaitkan dengan Kota Damansara, dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek pajakan Sunway Damansara bernilai RM1.7 bilion, usaha sama antara Sunway City dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang bermula pada tahun 1995, lapor The Edge.
Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang kempen untuk memelihara status rizab di laman web Hutan Simpan Komuniti Kota Damansara di SINI.



7. Mutiara Damansara
Dibangunkan oleh: Boustead Properties / Mutiara Rini Sdn Bhd
Dibangunkan sejak: 1999
Terkenal dengan: The Curve, IKEA, IPC, Lotus, pejabat, rumah berpagar
Bagi kebanyakan penduduk Lembah Klang, Mutiara Damansara sinonim dengan destinasi membeli-belah dan gaya hidup.
The Edge melaporkan bahawa perbandaran pegangan bebas seluas 355 ekar itu pernah menjadi sebahagian daripada sebuah ladang kelapa sawit dan getah yang dimiliki oleh kumpulan See Hoy Chan, sebelum tanah itu diperoleh oleh Tabung Pencen Angkatan Tentera (LTAT).
LTAT kemudiannya menjual tanah itu kepada anak syarikat Boustead Properties, Mutiara Rini. Perbandaran itu dizonkan kepada kawasan kediaman dan komersial. LTAT, sehingga hari ini, masih memegang kepentingan dalam Boustead Holdings Bhd, syarikat induk Boustead Properties.
Rumah-rumah awal kebanyakannya adalah rumah teres, rumah separa berkembar dan banglo. Kemudian, bahagian komersial menjadi destinasi utama dengan The Curve, IKEA, IPC, Lotus, pejabat, hotel dan MRT.
Bandar Utama sebelum ini pada asalnya merangkumi 1,400 ekar. Pengarah Bandar Utama City Corp Sdn Bhd, Tan Sri Teo Chiang Kok memberitahu The Edge bahawa 395 ekar kemudiannya diperolehi untuk pangkalan taktikal Tentera Udara. Tanah itu kemudiannya dibangunkan menjadi Mutiara Damansara.



8. Damansara Perdana, PJU8
Dibangunkan oleh: Saujana Triangle Sdn Bhd, anak syarikat MK Land Holdings Berhad
Dibangunkan sejak: 1996
Terkenal dengan: Hextar World di Empire City, kondominium-kondominium bertingkat tinggi, pangsapuri berservis, pejabat, PJ Trade Centre
Damansara Perdana muncul daripada bekas tanah hutan pada tahun 1990-an. Menurut EdgeProp, pembangunan tanah pajakan seluas 832.74 ekar bermula pada tahun 1996 oleh Saujana Triangle, anak syarikat MK Land Holdings Berhad yang diasaskan oleh Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar dan Datuk P Kasi.
Walaupun MK Land merupakan pemaju induk, beberapa pemaju lain juga telah meninggalkan kesan di perbandaran ini.
Projek-projek penting termasuk Empire Damansara dan Empire City oleh Mammoth Empire Land Sdn Bhd (dalam usaha sama dengan MK Land), ForestHill Damansara oleh ForestHill Damansara Land Sdn Bhd, dan Central Park Damansara oleh Exsim Development Sdn Bhd.
Tidak seperti kawasan kejiranan Damansara yang lain, Damansara Perdana terkenal dengan latar langit pencakar langitnya yang tersendiri, yang sering dapat diperhatikan apabila anda melihatnya semasa memandu di sepanjang DASH.



9. Bandar Sri Damansara, PJU9
Dibangunkan oleh: Land & General Berhad
Dibangunkan sejak: Pertengahan 1990-an
Dikenali dengan: DA Square @ Damansara Avenue, sekolah, rumah landed, kondominium-kondominium baharu
Bandar Sri Damansara merupakan perbandaran utama Land & General, yang terletak di sempadan antara Kuala Lumpur dan Selangor serta terletak di pinggir utara wilayah Damansara yang lebih luas.
Menurut The Edge, perbandaran pegangan bebas seluas 1,200 ekar ini terdiri daripada pembangunan kediaman dan komersial, di samping beberapa sekolah awam dan swasta.
Tempat mercu tanda terkenal termasuk Ativo Plaza di Damansara Avenue, 8trium, dan ibis Styles Kuala Lumpur Sri Damansara.
Bandar Sri Damansara menandakan peralihan Land & General daripada perdagangan kayu balak kepada pembangunan hartanah. Perbandaran ini kemudiannya memenangi FIABCI Malaysia Property Award pada tahun 1996.
Hari ini, ia merupakan perbandaran matang yang menampilkan rumah bertanah, sekolah, pusat komersial dan pembangunan bangunan tinggi yang lebih baharu yang terletak berhampiran stesen MRT.



10. Damansara Damai, PJU10
Dibangunkan oleh: MK Land, melalui Medan Prestasi Sdn Bhd
Dimulakan sejak: 1998
Dikenali dengan: Perumahan berskala besar, rumah mampu milik, pangsapuri, kawasan kediaman berkepadatan tinggi
Damansara Damai merupakan salah satu pembangunan Damansara yang lebih didorong oleh sosial.
Menurut Bernama, perbandaran Damansara Damai seluas 400 ekar milik MK Land telah dilancarkan pada tahun 1998 di bawah projek penswastaan perumahan Selangor.
Menjelang 2016, pemaju telah menyiapkan 15,579 unit rumah, termasuk 6,867 rumah kos rendah (dari RM60,000), 2,179 rumah kos sederhana (dari RM81,000), dan 3,145 rumah mewah (dari RM400,000).
Hari ini, kawasan berkenaan menempatkan lebih 110,000 penduduk dan dilengkapi dengan kemudahan seperti dua sekolah rendah, satu sekolah menengah, sebuah masjid, taman bandar, dewan komuniti dan stesen MRT, lapor Berita Harian.



11. Kwasa Damansara
Dibangunkan oleh: Kwasa Land Sdn Bhd, anak syarikat KWSP
Pengambilalihan tanah: 2012
Dikenali dengan: Bekas tanah RRIM, perbandaran masa hadapan, pembangunan campuran berkaitan MRT
Menurut The Edge, anak syarikat KWSP, Kwasa Land, merupakan pemaju induk Kwasa Damansara. Syarikat itu memperoleh 2,620 ekar tanah pada tahun 2012, yang sebelum ini merupakan tanah Rubber Research Institute di Sungai Buloh.
Perbandaran ini berada di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Menurut laman webnya, perbandaran ini dibayangkan sebagai komuniti bersepadu sepenuhnya yang terdiri daripada hartanah kediaman dan komersial, kemudahan awam, infrastruktur dan populasi yang diunjurkan seramai 150,000 orang.



12. Damansara Heights / Bukit Damansara
Dibangunkan oleh: Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn Bhd, anak syarikat Island & Peninsular Group
Dibangunkan pada: 1970-an
Dikenali dengan: Rumah mewah KL, banglo, rumah berkembar, pejabat, Plaza Damansara, Pavilion Damansara Heights, Damansara City
Pada asalnya merupakan sebuah estet getah, Bukit Damansara telah diubah menjadi sebuah perbandaran perumahan mampu milik untuk penjawat awam pada tahun 1970-an oleh Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn Bhd, anak syarikat Island & Peninsular (I&P) Group Sdn Bhd, lapor The Edge.
Selama beberapa dekad, Bukit Damansara telah berkembang menjadi salah satu alamat paling terkemuka di Kuala Lumpur, yang dicirikan oleh hartanah landed seperti rumah teres, rumah berkembar dan banglo.
Kawasan ini juga mempunyai kawasan komersial yang meriah seperti Plaza Damansara dan Pusat Bandar Damansara.



Daripada bekas kawasan estet dan hutan simpan hinggalah pekan-pekan yang luas, setiap Damansara mempunyai kisahnya sendiri
Walaupun mereka berkongsi nama yang sama, sejarah, pemaju dan identiti mereka telah berkembang dengan cara yang sangat berbeza selama beberapa dekad.
Terdapat juga beberapa lokasi yang membawa nama Damansara tetapi tidak termasuk dalam senarai ini kerana ia tidak diklasifikasikan sebagai pekan yang lengkap.
Antaranya termasuk Flora Damansara, Pelangi Damansara dan Phileo Damansara, serta pembangunan yang disebut sebelum ini seperti Empire Damansara dan Central Park Damansara.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via