“Janji Setia Sehidup Semati, Sampai Maut Memisahkan” - Pereka Kebaya Nikah BCL Buka Cerita
Sebaknya!
Dunia hiburan Malaysia dan Indonesia hari ini dikejutkan dengan pemergian aktor kacak, Ashraf Sinclair yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung
Allahyarham Ashraf yang juga merupakan suami kepada penyanyi kelahiran Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) meninggal dunia di usia 40 tahun di Jakarta kira-kira jam 4 pagi tadi.
Umum mungkin sudah mengetahui bahawa Ashraf dan Bunga telah diijabkabulkan pada 8 November 2008 dan kini mempunyai seorang cahaya mata lelaki bernama Noah Sinclair.
Susulan daripada pemergian arwah hari ini, pereka kebaya bagi baju perkahwinan Bunga iaitu Anne Avanti menceritakan semula kisah persalinan penyanyi itu sebelum pasangan itu diijabkabulkan 12 tahun lalu.
Di ruang Instagram miliknya, Anne Avanti mengimbau semula kenangan di mana kebaya yang sepatutnya dipakai oleh Bunga di hari pernikahan hilang secara tiba-tiba
Menurut wanita itu, baju yang direka olehnya buat Bunga telah hilang dengan tiba-tiba ketika dirinya mahu membawa persalinan tersebut ke rumah pengantin.
Ceritanya pada ketika itu, dirinya sangat yakin baju berkenaan telah dimasukkan ke dalam kereta namun di saat mahu mengambilnya, kebaya itu bagaimanapun sudah tidak ada.
Bahkan katanya ekoran daripada kejadian itu, dia juga telah menangis di depan rumah Bunga di samping berusaha mencari kebaya tersebut.
Namun selepas mencari selama satu jam, rupa-rupanya kebaya tersebut ada di ruang parkir Grand Indonesia selepas terjatuh daripada hanger dan ia ditemui oleh petugas parkir tempat berkenaan.
Kebaya itu sampai ke tangannya selepas 2 jam dan wanita itu berkata dirinya tidak berhenti bersyukur
Cerita Anne, selepas sahaja selesai majlis pernikahan pasangan itu, dia sempat meninggalkan pesan kepada mereka berdua supaya tetap setia sehingga maut memisahkan.
Dan katanya hari ini, 'janji setia sehidup semati, sampai maut memisahkan' yang pernah dipesannya itu benar-benar terjadi.
"Saya berpesan, tetap lah SETIA sampai MAUT memisahkan. Ini surat buat kalian, sebuah cerita tentang KEBAYA AKAD. Dan hari ini, JANJI SETIA sehidup semati sampai MAUT MEMISAHKAN benar benar Nyata," tulisnya.