Denda RM1,000 Jika Gagal Imbas 'QR Code' MySejahtera Di Stesen Minyak
Sebagai langkah untuk mengesan sekiranya terdapat individu yang positif Covid-19 di kawasan berkenaan.
Umum sedia maklum, aplikasi MySejahtera diwujudkan bertujuan untuk orang ramai mendaftarkan diri sekali gus dapat mengesan sekiranya terdapat kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19
Ianya juga sangat penting demi pengawasan penularan wabak Covid-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.
Pada masa yang sama, ia membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mendapat maklumat awal untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.
Menurut sumber, pihak polis akan mengeluarkan saman kepada mana-mana individu yang gagal mengimbas MySejahtera sewaktu mengisi minyak di stesen minyak.
Jelas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Datuk Mior Faridalathrash Wahid, orang ramai dinasihatkan untuk mengimbas MySejahtera terlebih dahulu meskipun tidak memasuki kedai serbaneka di stesen berkenaan.
“Hal ini dibuat sebagai langkah untuk mengesan sekiranya terdapat individu yang positif Covid-19 di kawasan berkenaan,” katanya.
Mior Faridalathrash berkata demikian ketika mengulas mengenai klip rakaman suara seorang lelaki yang mendakwa bapanya telah dikompaun sebanyak RM1,000 kerana gagal mendaftar aplikasi MySejahtera ketika mengisi minyak meskipun telah memakai pelitup muka
Sementara itu, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menjelaskan semua pelanggan yang datang ke mana-mana premis kedai termasuk stesen atau pam minyak adalah diwajibkan untuk membuat imbasan 'QR code' MySejahtera.
Dalam maklum balas e-mel kepada pertanyaan seorang wartawan, Aidila Razak yang dilihat di Twitter itu menyatakan pemeriksaan suhu badan dan pemakaian face mask juga diwajibkan walaupun tidak memasuki premis tersebut dan hanya membuat bayaran menggunakan kad kredit, ke tandas, mengisi angin tayar dan sebagainya.
Baca ciapan penuh Twitter tersebut di bawah:
Dalam pada itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab kekeliruan rakyat terhadap perkara itu. Rujuk SOP penuh di sini.