Dipersilakan Makan Dengan Senang Hati, Pasangan Ini Buka 'Rumah Makan Percuma' Untuk Semua
Dibuka dari hari Isnin hingga Sabtu bermula jam 12 tengah hari hingga 2 petang.
Siapa je tak suka benda percuma kan? Lebih-lebih lagi kalau makanan. Apa taknya, kalau dah dapat makan free, memang bestlah.
Masyarakat kita pula memang pantang dengan dua benda ni, 'makan dan percuma'. Tak kiralah sama ada yang kaya atau miskin, tua atau muda, semua suka free food.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai sebuah restoran di Alor Setar, Kedah yang menyediakan makanan percuma kepada para pelanggannya
Menurut laporan, prihatin dengan nasib segelintir masyarakat yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19, seorang usahawan berjaya dan isterinya mengambil inisiatif membuka ‘Rumah Makan Percuma’, untuk menyediakan makanan secara percuma kepada golongan yang memerlukan.
Jaffri Ahmad, 56, berkata beliau dan isteri Mazlina Makaruddin, 53, memperuntukkan makanan untuk sekurang-kurangnya 200 orang sehari dan bercadang menambahnya sekiranya inisiatif itu mendapat sambutan.
“Idea untuk melaksanakan inisiatif ini sudah lama, sebab setiap kali kami pergi menunaikan Umrah, kami dapati masyarakat di sana (Makkah) berlumba-lumba untuk memberi makanan percuma, kepada orang lain.
“Tapi sebelum ini, hasrat ini tergendala kerana kami sibuk dengan urusan lain, tetapi apabila COVID-19 melanda negara, ramai yang susah dan saya rasa ini adalah masa yang paling sesuai, untuk laksanakannya,” katanya.
Dua orang tukang masak akan menyediakan makanan setiap hari dengan bahan utamanya adalah beras, ayam dan sayur-sayuran
Sementara itu, Mazlina berkata Rumah Makan Percuma itu yang beroperasi di premis rumah kedainya, dibuka dari Isnin hingga Sabtu bermula 12 tengah hari hingga 2 petang dan usaha itu akan diteruskan selagi ada permintaan.
Gambar berikut adalah menu makanan yang disajikan oleh mereka di Rumah Makan Percuma hari ini (8 Julai 2020) :
“Saya bersama suami telah mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM30,000 dan kami akan lihat dahulu sambutannya macam mana, kalau bagus mungkin selepas ini kita akan tambah sedikit demi sedikit jumlah orang datang makan di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Mazlina turut mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin menyumbang dalam inisiatif itu dan berharap ia akan dapat membantu terutama golongan yang kurang berkemampuan.
Tonton juga video perkongsian mengenai Rumah Makan Percuma di bawah:
Semoga pasangan ini sentiasa dimurahkan rezeki selalu & dapat terus membantu golongan yang memerlukan.