"Dr Mohammad Agus Sudah Letak Jawatan, Tiada Kaitan Lagi Dengan Kerajaan" - Fahmi Fadzil
Difahamkan, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu telah menghantar surat peletakan jawatan baru-baru ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sudah meletak jawatan dan kini tiada lagi sebarang kaitan dengan kerajaan atau agensi
Menerusi laporan Berita Harian, katanya, Dr Mohammad Agus sudah menyerahkan surat peletakan jawatan dan kerajaan berterima kasih atas khidmat beliau sebelum ini.
"Saya sudah bercakap dengan Timbalan Ketua Pengarah J-KOM (Datuk Ismail Yusop) dan beliau mengesahkan menerima surat (peletakan jawatan).
"Agus sudah memberi surat peletakan jawatan dan kami berterima kasih kepadanya. Beliau kini tiada lagi kaitan dengan J-KOM atau kerajaan," katanya.
Jawatan Ketua Pengarah J-KOM akan diisi secepat mungkin susulan peletakan jawatan Dr Mohammad Agus
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau belum berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu namun akan mengambil langkah untuk menggantikan Agus secepat mungkin.
Semalam media melaporkan Dr Mohammad Agus mengesahkan sudah menghantar surat peletakan jawatan.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan itu sudah diserahkan kepada Perdana Menteri semalam.
Katanya, keputusan berkenaan dilakukan berikutan beliau menerima tawaran pekerjaan baharu dan bukan disebabkan tekanan oleh mana-mana pihak.
"Saya ada tawaran (kerja) baharu, tidak ada tekanan kepada saya. Jadi, apabila semuanya sudah disahkan, sama ada saya mahu bersara atau menjawat jawatan baharu yang lebih mencabar, tunggu berita itu.
"Kalau peletakan jawatan saya dipersetujui oleh Perdana Menteri nanti, saya akan meletakkan jawatan dengan serta-merta," katanya.
Sebagai rekod, pada Februari lalu, Dr Mohammad Agus memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah J-KOM di Pejabat Perdana Menteri.
Bagaimanapun Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan J-KOM dibubarkan untuk menjimatkan RM13 juta kerana kegagalannya berfungsi memberi penerangan dengan baik.
Pada 2020 kerajaan diterajui PN membuat penjenamaan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan dikenali sebagai J-KOM dengan peranan serta fungsi berbeza.
J-KOM bermatlamat mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan penyaluran maklumat tepat, sahih serta bijaksana.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!