FIFA Umum Ganjaran Piala Dunia 2026, Lebih Lumayan Berbanding Edisi Di Qatar
Bagi pasukan yang tersingkir awal di peringkat kumpulan, tiada peningkatan hadiah ditawarkan.
Cover image via ReutersFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi mengumumkan struktur agihan dana ganjaran bagi kejohanan Piala Dunia 2026
Jumlah ganjaran ini menyaksikan lonjakan ketara untuk pasukan yang berjaya melangkah jauh ke peringkat kalah mati.
Menerusi laporan Berita Harian, terdapat lapan kategori kelayakan yang bakal menentukan jumlah ganjaran lumayan yang bakal dibawa pulang oleh setiap pasukan yang bertanding.
Sebagai permulaan, semua 48 negara yang layak ke pusingan akhir secara automatik menerima AS$2.5 juta (RM11.75 juta) sebagai dana persediaan. Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak AS$1.5 juta berbanding edisi 2022 di Qatar.
Bagaimanapun, bagi pasukan yang tersingkir awal di peringkat kumpulan, tiada peningkatan hadiah ditawarkan. Mereka sekadar membawa pulang AS$9 juta (RM42.3 juta) iaitu jumlah yang sama seperti edisi sebelum ini di Qatar dan hanya meningkat AS$1 juta berbanding edisi Rusia 2018.
Bagi pusingan 32 terbaik yang baharu diperkenalkan, pasukan yang tersingkir di fasa ini masing-masing meraih AS$11 juta (RM51.7 juta). Sementara itu, pasukan yang terkandas di pusingan 16 membawa pulang AS$13 juta (RM61.1 juta), meningkat AS$2 juta berbanding edisi lalu.
Bagi pendatang baharu suku akhir seperti Norway, mereka dijamin membawa pulang sekurang-kurangnya AS$19 juta (RM89.3 juta).

Empat pasukan terbaik yang bersaing di peringkat separuh akhir bakal mengaut keuntungan lebih besar
Pasukan yang memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga pula bakal menerima AS$29 juta (RM136.3 juta) manakala tempat keempat meraih AS$27 juta (RM126.9 juta).
Naib juara pula bakal membawa pulang habuan berjumlah AS$33 juta (RM155.1 juta) iaitu peningkatan sebanyak AS$3 juta berbanding edisi lalu.
Bagi juara dunia yang baharu, pasukan tersebut bakal memenangi dana tunai lumayan berjumlah AS$50 juta (RM235 juta).
Jumlah ini adalah AS$8 juta (RM37.6 juta) lebih tinggi berbanding apa yang dimenangi Argentina di Qatar empat tahun lalu.
Hadiah utama berprestij ini juga sekali gus memintas ganjaran AS$40 juta (RM188 juta) yang diterima Chelsea ketika bergelar juara Kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA yang berwajah baharu, tahun lalu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


