Ibu Tergamak Lempang Anak Sehingga Jatuh & Luka Di Depan Pasar Raya Kini Ditahan Polis
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wanita ditahan polis selepas dia didakwa mencederakan anaknya di sebuah hadapan sebuah pasar raya di Jejawi
Menerusi laporan Harian Metro, perintah reman selama enam hari dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar sekitar jam 9.33 pagi semalam.
Suspek yang bekerja sebagai pekerja kantin berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah bilik sewa sebuah rumah di Mata Ayer jam 11.30 malam Isnin.
Penahanan suspek adalah berikutan tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pasar raya yang menunjukkan dia beberapa kali menampar anaknya sehingga cedera dan terjatuh terkena bucu bangku.
Anak sampai cedera dan berdarah lepas ditampar
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 malam Ahad lalu.
"Polis menerima laporan daripada orang awam berhubung perlakuan wanita berkenaan yang dirakam CCTV.
"Dalam video itu, suspek memukul belakang kepala kanak-kanak perempuan sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah.
"Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi, dan suspek direman bagi membantu siasatan," katanya.
Tambah beliau, anaknya yang berusia lima tahun mengalami luka di bahagian kening kanan dan sudah menerima rawatan susulan selepas kejadian itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
Sementara itu, kanak-kanak itu kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Video tersebut tular di media sosial yang memaparkan seorang wanita memarahi anaknya sehingga kanak-kanak perempuan itu ditampar oleh ibunya berkali-kali. Tindakan itu menyebabkan anaknya terjatuh sehingga kepala tercedera.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!