KKM Jelas Perbezaan Antara Tekak Melayu & Cina Lepas Kecoh Isu Review Makanan Bangsa Lain
Terpulang pada individu itu sendiri.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kecoh sebelum ini apabila food reviewer & influencer yang dikenali ramai, Jason Chen didakwa telah menjatuhkan perniagaan ramai peniaga disebabkan review-nya yang jujur
Isu itu bermula selepas seorang individu telah membuat hantaran di media sosial mengkritik seorang influencer yang dipercayai Jason, meluahkan rasa kecewanya terhadap influencer tersebut yang dianggap tidak patut sehingga telah menjatuhkan perniagaan orang lain.
Menurut individu terbabit, apabila seseorang mahu review makanan Melayu, mereka perlu ikut tekak Melayu, bukan tekak mereka sendiri. Selepas melihat menonton video tersebut, netizen berpendapat influencer yang disebutkan itu adalah Jason walaupun individu itu tidak menyebutkan nama.
Jason kemudiannya tampil memberi respon dan memberitahu bahawa dia juga adalah seorang pelanggan dan tidak ada salahnya jika dia memberi ulasan jujur begitu.
Malah, isu berkenaan telah mendapat perhatian ramai yang kemudiannya memberikan pendapat masing-masing dan menganggap setiap orang mempunyai tekak berbeza.
Jadi ada beza ke antara tekak orang Melayu dan tekak orang Cina?
Ini penjelasan KKM
Menerusi hantaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka memberitahu sebenarnya tiada beza di antara tekak Melayu dan Cina.
Tetapi, apa yang membezakannya adalah tabiat makan seseorang. Jika seseorang itu sering memakan makanan Melayu, maka dia akan lebih merasai kenikmatan dengan sajian Melayu tersebut meskipun dia bukan berbangsa Melayu.
Sama juga jika seorang Melayu yang gemar dengan makanan Cina. Mereka akan lebih cenderung menikmatinya.
"Aku hirup baunya. Aku mula dengan bismillah. Jangan kata aku tak kongsi. Emmm… layan. Padu betul!
"Ada yang kata menikmati makanan itu cukup sekadar merasa di lidah. Kalau sedap, makan saja. Tak perlu persoalkan keseimbangan rasa, tekstur, atau bagaimana ia berfungsi dalam tekak. Tapi betulkah begitu, atau kita sekadar terbiasa dengan apa yang kita suka tanpa benar-benar memahami bagaimana tekak kita bekerja?
"Setiap kali kita makan, lidah mengesan lima rasa utama. Manis, masin, masam, pahit, dan umami. Isyarat dihantar ke otak, mencipta memori rasa yang menentukan sama ada kita suka atau tidak sesuatu makanan.
"Hidung pula melengkapkan rasa itu. Sebab itu bila selsema, makanan terasa hambar. Tekstur juga memainkan peranan besar. Ada makanan yang terasa enak kerana gabungan rangup dan lembut, ada yang tidak kena kerana teksturnya yang janggal.
"Tapi apa yang lebih menarik, selera bukan sesuatu yang kekal. Dulu tak suka sayur, sekarang boleh makan. Dulu tak tahan pedas, lama-lama jadi ketagih. Otak belajar dari pengalaman, bukan sekadar genetik.
"Jadi bila ada yang kata tekak seseorang tak sesuai untuk sesuatu makanan, adakah itu biologi atau sekadar kebiasaan? Kalau kita boleh belajar menerima kopi tanpa gula, kimchi, atau sushi mentah, kenapa tidak budu, petai, atau lemak cili api?.
"Tekak boleh dilatih. Selera boleh berubah. Begitu juga dengan cara kita menjaga kesihatan. Ramai yang rasa air kosong hambar pada mulanya, tapi bila mula mengurangkan gula, baru perasan betapa segarnya air tanpa perisa tambahan.
"Sama juga dengan makanan sihat. Apa yang dulu terasa membosankan, akhirnya jadi kegemaran bila kita biasakan.
"Kadang-kadang, bukan tekak yang tak boleh menerima. Cuma kita yang belum membiasakan diri," tulis KKM.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!