IKEA Kuching Dibuka 27 November Depan, 5,000 Jenis Perabot & Kelengkapan Rumah Tersedia
Cawangan tersebut juga akan menyajikan bebola daging IKEA, karipap, hot dog dan aiskrim.
Cover image via IKEAFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
IKEA Kuching sah akan dibuka secara rasmi pada 27 November 2026, bertempat di Pines Mall, Batu Kawa di Sarawak
IKEA Malaysia sebelum ini mengumumkan bahawa gedung tersebut akan dibuka pada Disember, namun kini telah mengesahkan tarikh pembukaan yang lebih awal melalui satu kenyataan media pada 28 Oktober.
Cawangan baharu ini juga merupakan gedung format kecil pertama daripada IKEA Malaysia, yang menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih padat.
Lebih menarik lagi, para pelanggan di Sarawak boleh menikmati harga IKEA yang sama seperti pelanggan di Semenanjung Malaysia, tanpa sebarang caj tambahan harga khusus untuk Malaysia Timur.

Cawangan baharu ini akan menawarkan 5,000 barangan kelengkapan rumah
Walaupun IKEA Kuching akan lebih kecil berbanding cawangan sedia ada peruncit tersebut di Damansara, Cheras, Tebrau dan Batu Kawan, para pelanggan masih boleh menjangkakan paparan ruang yang biasa dilihat, inspirasi kelengkapan rumah serta perkhidmatan perancangan.
Cawangan ini akan menawarkan produk untuk pelbagai bahagian rumah, termasuk ruang tamu, bilik tidur, dapur, ruang makan, ruang penyimpanan dan ruang untuk kanak-kanak.
Pelanggan juga boleh mendapatkan produk IKEA yang popular seperti rak buku BILLY, unit rak KALLAX, kerusi berlengan POÄNG dan meja makan SKOGSTA.
Perabot dan aksesori terpilih boleh dibawa pulang serta-merta, manakala rangkaian barangan yang lebih luas, merangkumi kira-kira 5,000 item, boleh dipesan untuk diambil sendiri atau dihantar terus ke rumah.
Pelanggan yang merancang untuk mengubah suai kediaman secara menyeluruh juga boleh memanfaatkan kepakaran IKEA dalam kelengkapan rumah serta sokongan perancangan yang disediakan.

Kunjungan ke IKEA tidak akan lengkap tanpa persinggahan untuk menjamu selera
Para pelanggan di Kuching juga berpeluang menikmati hidangan kegemaran yang sudah tidak asing lagi di IKEA.
IKEA Kuching akan memperkenalkan konsep makanan 'ambil dan bawa' (grab-and-go) yang menampilkan hidangan ikoniknya seperti bebola daging, karipap, hot dog dan aiskrim.
Selain itu, terdapat juga pelbagai produk makanan Sweden yang boleh dibeli oleh pelanggan untuk dibawa pulang.

Bagi meraikan pelancaran ini, IKEA Kuching akan menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang hujung minggu pembukaannya, dari 27 hingga 29 November
Para pelanggan juga boleh menyertai IKEA Family, program kesetiaan peruncit tersebut, untuk menikmati manfaat ahli, tawaran terpilih serta pelbagai pengalaman menarik sepanjang tahun.
Maklumat lanjut mengenai aktiviti hujung minggu pembukaan dan tawaran IKEA Family akan diumumkan menjelang tarikh pelancaran.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web IKEA Malaysia di SINI.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


