Iklankan Makanan Bufet, Iftar & Set Ramadan Tanpa Sijil Halal Sah Satu Kesalahan - JAKIM
Perbuatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011).
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mengiklan makanan halal dan boleh dimakan oleh orang Islam seperti bufet, iftar dan set Ramadan tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah satu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata pihak yang berhasrat menyediakan perkhidmatan juadah sempena Ramadan akan datang adalah disarankan supaya memiliki SPHM.
"JAKIM ingin menarik perhatian pihak-pihak yang berhasrat menyediakan perkhidmatan juadah sempena bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi supaya memiliki SPHM.
"Saranan ini dibuat lebih awal supaya pihak-pihak berkenaan tidak menghadapi sebarang masalah seandainya berhasrat menyediakan perkhidmatan bufet Ramadan.
"Seperti kelaziman, setiap kali bulan Ramadan, banyak pengusaha perniagaan makanan seperti hotel, restoren dan seumpamanya akan mempromosikan juadah berbuka puasa atau bufet Ramadan," katanya dalam satu kenyataan rasmi baru-baru ini.
Pihak JAKIM bersedia untuk membantu pengusaha-pengusaha bagi mendapatkan SPHM
Pengusaha-pengusaha yang merancang untuk menyediakan perkhidmatan bufet Ramadan dan seumpamanya namun masih belum mempunyai SPHM, adalah dinasihatkan untuk membuat permohonan secepat mungkin sama ada di JAKIM atau Jabatan mahupun Majlis Agama Islam Negeri-negeri.
Pihak JAKIM bersedia untuk membantu pengusaha-pengusaha bagi mendapatkan SPHM. Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Bahagian Pengurusan Halal JAKIM di talian 03-8892 5000 atau emel kepada [email protected] !
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!