Anda Kini Boleh Perbaharui Lesen Memandu & Cukai Jalan Melalui 'MyJPJ' Mulai 1 Februari
Individu yang memilih e-LMM untuk perbaharui lesen memandu akan menikmati rebat sebanyak RM5.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Orang ramai boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM), menerusi aplikasi MyJPJ bermula 1 Februari ini
Menurut laporan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata ia akan dilaksanakan secara berfasa dengan peringkat awal hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara).
“Pertambahan fungsi baharu ini akan memudahkan orang awam memperbaharui LKM dan LMM secara digital, menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter JPJ,” katanya dalam ucapan semasa lawatan di JPJ Selangor.
Jelasnya lagi, bagi menggalakkan penggunaan e-LMM, kerajaan akan memberikan rebat RM5 kepada orang ramai yang memperbaharui lesen memandu secara digital bermula 1 Februari hingga 31 Disember 2024.
Anthony Loke berkata, inisiatif itu terpakai untuk warganegara Malaysia yang memilih e-LMM semasa pembaharuan sama ada melalui kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ (Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad).
Bermula hari ini orang awam boleh membuat perkongsian e-LKM menggunakan fungsi baharu iaitu "Kongsi LKM" di aplikasi MyJPJ
“Melalui fungsi baharu ini, pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM sesama ahli keluarga, rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan,” ujar Anthony Loke.
Katanya, perkongsian itu mempunyai had masa boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan serta ia akan dihapuskan jika tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam.
“Pemilik kenderaan hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain,” katanya.
Bagaimanapun, Anthony Loke berkata, bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan tahun 2024, mereka masih boleh memilih LKM dan LMM fizikal.
“Bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim, JPJ akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan,” katanya.
Menurutnya, LKM yang baharu itu tidak perlu dilekat atau dipamerkan pada cermin kenderaan seperti keperluan Seksyen 20(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum ini sebaliknya disimpan mengikut kesesuaian orang awam.
“Slip LKM ini tidak wajib dan bertujuan untuk memberi masa kepada mereka yang masih perlu menyesuaikan diri dengan sistem digital,” ujarnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!