Jangan Dibuang Dulu, Ini 9 Kegunaan 'Silica Gel' Yang Ramai Tak Tahu. Semoga Bermanfaat!
Fuh! Tak sangka banyak juga kegunaan dia.
Pernahkah anda menjumpai bungkusan kecil yang mengandungi biji-biji kecil lutsinar yang tertulis 'silica gel' di dalam kotak kasut yang baru?
Menurut sumber, desiccants atau silica gel ini sebenarnya adalah agen penyerap lembapan. Kebiasaannya ianya diletakkan di dalam bungkusan produk supaya sesuatu produk itu tidak mudah rosak, tidak teroksida atau tidak berkulat, dan memanjangkan jangka hayat produk.
Secara umum, silica gel tidak beracun namun berpotensi menyebabkan saluran pemakanan tersumbat jika termakan dengan jumlah yang sangat banyak terutamanya oleh kanak-kanak kecil.
Walaupun dekat paket silica gel itu dah tertulis throw away tapi sebenarnya ia masih bermanfaat dan boleh digunakan lagi untuk tujuan lain.
Berikut di bawah adalah 9 kegunaan silica gel yang ramai tak tahu:
1. Hilangkan bau busuk pada beg sukan atau gym
Bagi sesiapa yang gemar bersukan dan suka pergi ke gym, silica gel ini sangat berguna. Sebabnya, ia mampu menyerap kelembapan dan juga dapat melindungi kasut sukan anda.
Selain itu, ia juga dapat mengurangkan bau busuk serta menghapuskan bakteria pada kasut atau stoking yang diletak dalam beg tersebut.
2. Segarkan suasana bilik dan ruang tamu
Jika bilik anda mula berbau yang tidak menyenangkan, anda boleh saja cuba silica gel ini untuk menyegarkan ia kembali.
Caranya hanya perlu keluarkan biji-bijian silica gel daripada paket ke dalam bekas dan titiskan pati minyak essential kegemaran seperti peppermint, lavender, lemon dan sebagainya. Hasilnya bilik anda akan berbau harum dan menjadi lebih segar.
3. Boleh selamatkan gambar-gambar lama
Walaupun zaman sekarang ini, ramai orang menyimpan gambar dalam komputer, hard disk, drive, dropbox atau cloud dan sebagainya kenangan gambar-gambar lama yang telah dicuci tetap ada.
Jika tidak dijaga elok, gambarnya boleh melekat dan rosak. Cara untuk selamatkan gambar-gambar penuh memori ini adalah dengan meletakkannya ke dalam kotak bersama dengan beberapa paket silica gel. Ia akan kekal kering dan mampu bertahan lama daripada kerosakan.
4. Menjaga dokumen penting anda
Kelembapan dapat membuatkan dokumen penting seperti surat beranak, geran rumah, geran kereta dan sebagainya mudah rosak dan berlapuk.
Malah ada yang lebih teruk dimakan anai-anai. Meletakkan paket silica gel di antara dokumen-dokumen penting ini dapat membantu mengelakkan ia lembap dan kekal kering, meskipun disimpan dalam waktu yang lama.
5. Mengeringkan handphone anda
Saat cemas apabila handphone terkena air, memang panik dibuatnya. Manakan tidak, segala gambar, contact number dan benda penting yang ada dekat handphone. Lebih membimbangkan lagi, jika ia terus rosak dan langsung tak boleh digunakan.
Jangan risau cara mudah hanya perlu lap handphone berkenaan, masukkan silica gel dan handphone ke dalam satu plastik kedap udara (ziplock). Biarkan selama 5 hingga 6 hari dan lihat hasilnya.
6. Alat pencukur tak berkarat
Keadaan bilik mandi yang lembab dan basah menyebabkan alat pencukur mudah berkarat jika diletakkan di rak atau singki.
Untuk memastikan alat pencukur ini tahan lama dan tidak berkarat caranya mudah saja. Anda hanya perlu meletakkan beberapa paket silica gel ke dalam plastik kedap udara bersama-sama alat pencukur berkenaan untuk memastikan ia kekal kering.
7. Menjaga barang perhiasan agar tetap berkilau
Jika anda ingin memastikan barang kemas mahupun barang-barang perhiasan di rumah anda tetap berkilau, letakkan silica gel ini di dalam kotak atau bekas perhiasan tersebut.
Seeloknya kotak perhiasan berkenaan dari jenis fabrik, ianya bagi mengelakkan kelembapan yang ada pada barang kemas atau perhiasan daripada menjadi pudar dan tidak bersinar.
8. Baju jarang digunakan lebih tahan lama
Salah satu tips untuk mengekalkan ketahanan baju-baju yang jarang digunakan adalah meletakkan sekali silica gel ketika menyimpannya.
Baju-baju yang jarang digunakan seperti jaket, baju sejuk ini akan lebih tahan lama dan baunya juga seakan-akan seperti baju baru bila diletakkan silica gel ini.
9. Simpan untuk berkebun tahun depan
Sekiranya anda gemar berkebun, anda akan menyukai tips yang terakhir ini. Anda boleh menyimpan biji benih pokok anda sendiri dalam tempoh yang lama jika bercadang mahu menanamnya tahun depan.
Letakkan beberapa paket silica gel ke dalam sebuah bekas dan pastikan ianya kedap udara. Anda juga boleh menyimpan biji benih pokok yang berlainan di dalam sampul kecil dan memasukkan semuanya ke dalam bekas kedap udara bersama dengan paket silica gel di dalamnya.
Macam mana? Banyak bukan kegunaan silica gel ini dalam kehidupan seharian kita.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua. Lepas ini jangan buang okay!