Kanak-Kanak Tercekik Makan Gula-Gula Gummy Berbentuk 'Mata' Kini Kritikal Di Hospital
Difahamkan, mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Pulau Pinang.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang kanak-kanak kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal atau 'gummy' berbentuk mata
Menerusi laporan dari Berita Harian, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10 tahun, dikatakan telah rebah di Kelas Al-Quran dan Fardhu 'Ain (KAFA) kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Menurut ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, kira-kira jam 10 pagi tadi, doktor memaklumkan Mohamad Fahmi masih tidak menunjukkan sebarang perkembangan.
"Doktor beritahu sekiranya dia tidak tunjukkan maklum balas sehingga Jumaat ini, semua ubat akan dihentikan.
"Kami berserah kepada Allah SWT dan menyerahkan urusan rawatan kepada pihak hospital," katanya.
Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Pulau Pinang
Sebelum ini, Siti Farhani di Facebook memohon doa orang ramai mengenai perkembangan anak saudaranya itu dan ia sekali gus telah mendapat perhatian ramai.
Di dalam hantaran tersebut, dia memaklumkan Mohamad Fahmi dalam keadaan kritikal dan masih belum sedarkan diri selepas dipercayai tercekik gula-gula itu di sekolah.
Difahamkan, gula-gula berkenaan dibeli di gerai di luar kawasan sekolah. Menurutnya, guru memaklumkan Mohamad Fahmi tersedak sebelum mahu ke tandas.
Ketika berjalan ke tandas, kanak-kanak itu terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum guru menghubungi ambulans.
"Guru ada buat panggilan video dengan pasukan perubatan yang meminta beliau memeriksa mulut Mohamad Fahmi sebelum menemukan gula-gula terbabit dalam tekak kanak-kanak itu.
"Ketika menerima pakaian Mohamad Fahmi dari pihak hospital, kami dapati sebiji lagi gula-gula itu dalam poket bajunya," katanya.
Difahamkan, ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan enggan mengulas kejadian buat masa ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!