Sekolah Sesi Petang Akan Ditamatkan Lebih Awal Sepanjang Bulan Ramadan - KPM
Ketetapan berkaitan waktu persekolahan itu bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sekolah sesi petang akan ditamatkan lebih awal sepanjang Ramadan ini
Menurut laporan Berita Harian, ia ditetapkan bagi sekolah yang mempunyai murid dan guru beragama Islam.
Difahamkan, sesi persekolahan akan ditamatkan seawal jam 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Sesi persekolahan petang di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula tamat jam 5 petang, manakala sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa.
"KPM menyediakan ketetapan berkaitan waktu persekolahan itu bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar dan murid serta guru beragama Islam dapat menunaikan ibadat pada bulan Ramadan dengan selesa.
"KPM mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan oleh sesetengah pihak dalam laman media sosial berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan pada tahun ini," katanya.
Operasi bantuan sekolah berjalan seperti biasa
Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan pengoperasian sekolah sepanjang Ramadan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) berjalan seperti biasa, sama seperti tahun sebelumnya.
Difahamkan, ia berdasarkan kepada Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang sedang digunapakai.
Sementara itu, KPM memaklumkan semua Pengarah Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri turut diminta mengingatkan pengetua dan guru besar institusi pendidikan di bawah KPM supaya mematuhi surat siaran terbabit.
Pada masa yang sama, KPM menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi kementerian dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial berniat jahat yang cuba mengelirukan masyarakat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!