Kenali Cheah Liek Hou, Atlet Para Negara Yang Raih Pingat Emas 2 Kali Di Sukan Paralimpik
Proud Malaysian here!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou berjaya membawa pulang pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024 bagi kategori SU5 (kecacatan fizikal) pada Isnin lalu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia
Cheah kini juara dua kali Paralimpik, setelah memenangi pingat emas pertamanya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Menurut laporan Harian Metro, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu percaya segala yang diperoleh datang daripada orang ramai terutama rakyat Malaysia sendiri sehingga berjaya meraih kejayaan demi kejayaan termasuk mendapat habuan RM1 juta hasil kemenangan pingat emas di Paralimpik Paris itu.
Pemain berusia 36 tahun itu berjaya mempertahankan emas pada dua edisi berturut-turut di Paralimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024 selepas mengalahkan lawannya dari Indonesia, Suryo Nugroho dengan mata 21-13, 21-15.
Untuk meraikan kejayaan Cheah, jom kita kenali dengan lebih dekat mengenai pemain kebangsaan yang hebat ini:
1. Mula bermain badminton ketika berumur 9 tahun
Anak jati Kuala Lumpur itu pernah bertanding dalam kedua-dua kejohanan badan kurang upaya dan para-badminton sebelum menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kejohanan tersebut selepas memperoleh ijazahnya.
Ibu kepada Cheah sudah mengenali bakatnya dalam sukan badminton sejak awal lagi.
"Ibu saya pasti merasakan sesuatu apabila dia melihat saya semangat bermain badminton. Satu hari, ketika saya baru berusia 9 tahun, dia memberitahu saya, anda perlu menjadi pemain badminton profesional," katanya.
2. Dilahirkan dengan Erb's palsy, keadaan saraf yang menyebabkan lengan kanannya kurang kekuatan dan kestabilan
Akibatnya, dia tidak boleh mengangkat lengan kanannya melepasi ketinggian bahu atau melakukan tugasan yang memerlukan tenaga kedua-dua lengan seperti mengangkat barang.
Cheah bertanding dalam kategori perseorangan lelaki SU5. Menurut Paralympic System of Classification, 'SU' bermaksud 'Standing/Upper' dan kategori ini adalah untuk atlet yang mengalami kecacatan pada anggota atas. Cheah bermain dengan tangan kirinya.
"Saya melatih bahagian kanan selama empat hari dan menghabiskan dua hari berlatih di sebelah kiri, yang merupakan kekuatan saya," katanya.
3. Pertama kali mewakili Malaysia dalam Sukan Para ASEAN di Vietnam ketika berusia 15 tahun
Pada tahun 2003, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berusaha untuk membangunkan atlet para dan menjemput Cheah untuk menyertai pasukan itu.
Sejak itu, Cheah telah menjadi juara dunia 14 kali dan memenangi kesemua 33 perlawanan yang dipertandingkannya tahun ini.
4. Perjalanan ke Paralimpik adalah penantiannya selama 18 tahun
Cheah membuat debut Paralimpik di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, iaitu kali pertama badminton dimasukkan ke dalam acara temasya berkenaan.
Ketika pertama kali menyertai badminton kompetitif, jurulatihnya memberitahu bahawa sukan itu akhirnya akan dimasukkan ke dalam program Paralimpik, tetapi tarikh sebenar kemasukannya tidak pasti.
"Saya hanya menunggu dan menunggu. Akhirnya, saya menunggu selama 18 tahun untuk bermain Sukan Paralimpik pertama bagi badminton para di Tokyo," katanya.
5. Sepanjang penantian itu, Cheah hampir berhenti pada tahun 2015 apabila menyedari badminton para tidak termasuk dalam Paralimpik Rio 2016
Graduan komunikasi korporat itu pernah bekerja sebagai pengurus akaun strategik serantau di firma sukan pada 2015 dan menjadikan badminton sebagai hobi sambilan.
Apabila badminton dimasukkan ke dalam Sukan Paralimpik Tokyo, dia meninggalkan tugas korporatnya untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada sukan itu.
Dengan bantuan jurulatih Nova Armada dan Datuk Rashid Sidek, Cheah berjaya menurunkan berat badan 20kg dan membina semula bentuk dan staminanya.
"Ia adalah satu perjuangan yang sukar. Jurang gaji antara pekerjaan saya sebelum ini dengan atlet badminton sepenuh masa adalah jauh. Saya tidak dianggap muda dalam dunia sukan, saya juga mempunyai komitmen. Tetapi itu tidak menghalang saya, dan hari ini, saya mewakili Malaysia untuk menyertai Sukan Paralimpik di Tokyo," katanya.
6. Kisah hidup Cheah diadaptasi dalam filem pengarah Malaysia, Adrian Teh
Filem 'Gold' menampilkan pelakon Malaysia, Jack Tan dan Farid Kamil di mana masing-masing memainkan watak Cheah dan jurulatihnya Rashid. Filem ini telah ditayangkan di pawagam pada 11 Julai 2024 lalu.
Menurut laporan The Star, Cheah pada mulanya keberatan untuk menyesuaikan kisah hidupnya ke dalam filem dan tidak pasti sama ada ia akan menarik perhatian penonton.
Namun, sokongan Teh telah berjaya meyakinkannya. Pengarah itu menghabiskan masa berjam-jam menemu bual Cheah dan Rashid untuk mempersiapkan filem itu.
"Kami ingin berkongsi kisah inspirasinya dengan rakyat Malaysia, kerana beliau ialah bukti bahawa orang kurang upaya bukanlah penghalang untuk mencapai kehebatan demi negara," katanya.
Lihat trailer filem itu di sini:
7. Apabila ditanya pemain mana yang dia mahu jadi, Cheah memilih dirinya sendiri
"Saya mahu menjadi diri saya sendiri, tetapi sebagai versi yang lebih muda," katanya.
Lihat video penuh di bawah:
8. Rancang untuk raikan kemenangan bersama keluarga
Pemain para-badminton nombor satu dunia itu berkata dia merancang untuk membawa isterinya, Dewi Febriana, pulang ke kampung halamannya di Medan, Indonesia.
Dia juga bercadang untuk melancong ke luar negara bersama-sama sebagai tanda penghargaan atas sokongan tanpa henti buat Cheah.
9. Belum ada rancangan untuk bersara lagi
Walaupun tidak pasti peluangnya untuk beraksi di Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles, dia telah meletakkan sasarannya pada Sukan Para Asia 2026 akan datang di Aichi-Nagoya, Jepun.
"Kemenangan pingat emas kali ini menunjukkan keadaan saya masih kuat, jadi saya mahu mencipta lebih banyak rekod dan sejarah dalam badminton para selagi mampu," katanya.
10. Berharap dapat menyumbang kepada masa depan badminton para Malaysia dengan membimbing pemain muda
Cheah mahu melatih dan membimbing pasangan beregu lelakinya, Muhammad Fareez Anuar dan berharap dapat berkhidmat sebagai ahli pengurusan pasukan negara kelak.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!