Kenapa Pinduoduo Tiada Dalam Google Play Store? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Aplikasi ini tidak lagi tersedia di Play Store sejak tahun 2023.

Cover ImageCover image via Florence Lo/Reuters & SAYS

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Jika anda berhasrat untuk cuba membeli-belah di platform e-dagang dari China, Pinduoduo, tetapi tidak menemuinya di Google Play Store, jangan risau anda tidak keseorangan

Aplikasi beli-belah yang dikendalikan oleh PDD Holdings Inc. ini tidak lagi tersedia di Play Store sejak tahun 2023.

Menurut Associated Press, Google telah menggantung aplikasi tersebut pada bulan Mac 2023 selepas menemui perisian hasad (malware) dalam beberapa versi perisian itu yang diedarkan di luar Play Store.

Pada masa itu, Google menyatakan terdapat 'kebimbangan keselamatan' dan memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut. Penggubal undang-undang Amerika Syarikat mendakwa bahawa aplikasi sebegini boleh digunakan untuk mengintip pengguna di Amerika Syarikat.

Kenyataan Google tidak menyebut tentang Temu, sebuah lagi aplikasi beli-belah yang dikendalikan oleh PDD Holdings yang masih tersedia di Play Store.

"Penguatkuasaan Google Play Protect telah ditetapkan untuk menyekat percubaan pemasangan aplikasi-aplikasi berbahaya yang telah dikenal pasti ini.

"Pengguna yang telah memuat turun versi aplikasi yang mengandungi perisian hasad ke dalam peranti mereka akan menerima amaran dan diminta untuk menyahpasang aplikasi tersebut," menurut kenyataan itu.

Sebagai respons, jurucakap Pinduoduo, Kong Ho, memberitahu TechCrunch bahawa syarikat itu menolak dakwaan yang membayangkan bahawa aplikasi mereka bersifat berbahaya.

SAYS.com
Image via CFP via Tech In Asia

Lebih tiga tahun kemudian, Pinduoduo masih tidak tersedia di Play Store

Sementara itu, Pinduoduo kekal tersedia di Apple App Store sepanjang tempoh ini.

Walaupun Pinduoduo tidak memberikan penjelasan secara langsung mengenai penyingkirannya daripada Play Store. selain daripada apa yang dinyatakan dalam laporan kewangannya sejak Mac 2023, syarikat itu telah menjalankan pelbagai kempen pengiklanan di Malaysia yang menggalakkan pengguna Android memuat turun fail APK daripada laman webnya.

Fail APK membolehkan pengguna Android memasang aplikasi terus pada peranti mereka tanpa melalui Play Store.

Walaupun pengguna secara amnya dinasihatkan supaya tidak memuat turun fail APK dari luar Play Store, adakah wajar untuk anda memuat turun Pinduoduo melalui cara ini?

SAYS.com
Image via Pinduoduo

Kenali syarikat di sebalik aplikasi ini

Sebelum membuat keputusan sama ada mahu menggunakan Pinduoduo, berikut adalah sedikit latar belakang mengenai syarikat induknya, PDD Holdings.

Ditubuhkan pada tahun 2015, syarikat ini bermula sebagai platform pertanian yang memfokuskan kepada hasil segar, sebelum berkembang menjadi pemain utama dalam perdagangan sosial yang memberi khidmat kepada kira-kira 900 juta pengguna.

Ia merupakan sebuah kumpulan perdagangan multinasional yang diperbadankan di Kepulauan Cayman, dengan pejabat eksekutif utamanya terletak di Dublin, Ireland. Syarikat ini mempunyai operasi yang luas di China, dan saham depositari Amerikanya didagangkan di Nasdaq di bawah simbol PDD.

Dalam tempoh tiga tahun sejak Pinduoduo dikeluarkan daripada Play Store, saham PDD Holdings kekal berdaya tahan. nilainya meningkat daripada sekitar USD73 pada bulan Mac 2023. ketika penggantungan itu diumumkan, kepada paras tertinggi USD157 pada bulan Mei 2024.

Sejak itu, nilai saham tersebut telah mengalami sedikit penurunan, dengan didagangkan dalam julat USD70 hingga USD90 sejak akhir Mei 2026. Pergerakan ini tidak membuktikan sama ada aplikasi tersebut selamat digunakan atau tidak, namun ia menunjukkan bahawa PDD Holdings kekal sebagai sebuah perniagaan global yang berdaya maju.

Pada tahun 2023, AP melaporkan bahawa larangan tersebut dibuat di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara Amerika Syarikat dan China berhubung aplikasi milik China seperti TikTok, yang disifatkan oleh sesetengah penggubal undang-undang AS sebagai ancaman berpotensi terhadap keselamatan negara.

Dalam tempoh ini, PDD Holdings tidak berdepan dengan penelitian undang-undang berprofil tinggi berkaitan dakwaan pelanggaran privasi data, seperti yang dialami oleh beberapa syarikat teknologi besar yang lain.

Ironinya, Google, pihak yang mengenakan larangan terhadap Pinduoduo sendiri telah berdepan dengan pelbagai tuntutan mahkamah berkaitan privasi data, serta telah membayar sekurang-kurangnya USD2.3 bilion dalam bentuk penyelesaian dan denda sepanjang tiga tahun yang lalu.

Perlu dinyatakan bahawa terdapat satu tuntutan mahkamah berkumpulan (class action lawsuit) yang difailkan terhadap syarikat e-dagang ini. Tuntutan tersebut mendakwa bahawa syarikat itu telah mengelirukan pelabur dengan tidak mendedahkan bahawa aplikasi-aplikasinya mengandungi perisian hasad (malware) yang direka untuk mengumpul data pengguna termasuk mesej teks peribadi, tanpa kebenaran. Ia juga mendakwa bahawa PDD tidak mempunyai sistem untuk menghalang penjualan barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa di platform Temu dan Pinduoduo.

Walau bagaimanapun, pada 29 September, sebuah mahkamah AS menolak tuntutan tersebut pada peringkat itu, dengan memutuskan bahawa pihak plaintif gagal mengemukakan bukti yang mencukupi bagi menyokong dakwaan mereka bahawa PDD Holdings telah mengelirukan para pelabur.

SAYS.com
Image via Reuters via SCMP

Jadi, patutkah anda memuat turun aplikasi tersebut?

Dalam laporan tahunan bulan April, syarikat itu menyatakan bahawa mereka sedang berusaha untuk menyangkal dakwaan berkaitan kebimbangan keselamatan siber terhadap aplikasi-aplikasinya.

Syarikat itu mengakui bahawa laporan media pada bulan Mac 2023 terus menimbulkan cabaran terhadap reputasi mereka, sambil menyifatkan laporan tersebut sebagai sebahagian daripada 'strategi publisiti' yang merupakan satu bentuk 'perlakuan anti-persaingan'.

Kerajaan Malaysia tidak membangkitkan sebarang kebimbangan keselamatan siber mengenai Pinduoduo, namun beberapa ahli politik telah menggesa supaya platform tersebut diharamkan atau dikenakan cukai bagi mewujudkan persaingan yang adil untuk perniagaan tempatan.

Keputusan untuk memuat turun aplikasi itu terletak sepenuhnya di tangan anda. Jika anda memilih untuk meneruskannya, anda boleh mendapatkan pautan muat turun di laman web rasmi Pinduoduo di SINI.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: