seismik

Kerajaan Bersetuju Beri Potongan Tol 50 Peratus Kepada Pengguna Sempena Tahun Baharu Cina

Potongan tol 50 peratus itu akan diberikan selama 2 hari bermula Isnin, 27 Januari.

Cover image via Info Trafik (Facebook)

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Kerajaan hari ini bersetuju memberi potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina

Menerusi laporan Berita Harian, potongan tol akan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari (Isnin) dan berakhir jam 11.59 malam 28 Januari bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata potongan ini dilaksanakan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

"Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember lalu.

"Namun mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

"Ia selaras agenda kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh hasil program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan.

"Pemberian ini adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang sekian kalinya diberikan Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023," katanya.

Kerajaan membelanjakan RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan tol percuma musim perayaan hingga tahun lalu sejak 2023

Tambah beliau, pengguna lebuh raya diharap memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini.

"Pengguna disaran memuat turun aplikasi MYPLUS-TTA di PLUS App (Official) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) bagi meningkatkan aspek keselamatan pemanduan.

"Pengguna lorong 'smart lane' diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki laluan itu yang diaktifkan, selain memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling," katanya.

Pengguna disaran menyemak status trafik semasa atau insiden di lebuh raya yang dikemas kini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik).

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: