Sindiket Seludup Vape, Pegawai Penguat Kuasa Terima Rasuah Sehingga RM6,000 Sehari
Nilai suapan bergantung pada berat lori bermula RM150 hingga RM750.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pegawai penguat kuasa pintu masuk Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang terima suapan sehingga RM6,000 sehari
Menerusi laporan Sinar Harian, jumlah rasuah yang diberikan kepada pegawai penguat kuasa berkaitan sindiket penyeludupan rokok elektronik (vape) dipercayai mencecah RM6,000 sehari.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, nilai suapan ini bergantung kepada jenis lori yang dilepaskan.
"Jika lori satu tan nilainya RM150, lori tiga tan (RM300), lima tan (RM500) dan atas lima tan (RM750).
"Kekerapan lori pelbagai jenis itu akan keluar dari FCZ KLIA sebanyak lebih kurang 20 buah lori sehari dan anggaran nilai rasuah diberikan adalah sekitar RM4,000 hingga RM6,000 sehari," katanya.
Menggunakan modus operandi melepasi penguat kuasa tanpa melalui sebarang pemeriksaan
14 individu berusia antara 20 hingga 60-an telah ditahan antara jam 8 malam hingga 1 pagi (Rabu) di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.
Individu yang ditahan itu terdiri daripada enam pegawai kastam, lapan orang awam dan enam pengarah syarikat.
Modus operandi sindiket adalah dengan merasuah pegawai-pegawai penguat kuasa yang bertugas dengan suapan ribuan ringgit bagi setiap kontena lori tanpa melalui mesin imbasan atau sebarang pemeriksaan.
Kesemua enam pegawai kastam, empat pengarah syarikat dan dua individu telah direman selama empat hari sehingga 25 Januari, seorang lagi pengarah syarikat direman selama lima hari sehingga 26 Januari, manakala seorang lagi pengarah syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!