seismik

Anak Muda Malaysia Ini Cipta Nama Sebagai Pereka Kasut Terkenal Di Jepun. Wow!

Shahnun sudah berada di Jepun sejak tujuh tahun lalu.

Cover image via Instagram Shahnun Said

Seorang lelaki warganegara Malaysia telah mencipta nama sebagai pereka utama kasut terkenal di negara Jepun

Shahnun Said, 36, telah diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk mencipta dan menghasilkan rekaan terkini kasut tiga syarikat pengeluar utama produk berpangkalan di Jepun iaitu jenama Dragon Beard, Top Seven dan Premier Seven yang memasarkan kasut rekaannya ke pasaran Korea, China, Amerika Syarikat serta Eropah.


Mempunyai minat terhadap seni dan kreatif sejak kecil lagi, Shahnun sama sekali tidak menyangka beliau mampu membina nama di negara matahari terbit itu

"Saya sama sekali tidak menyangka mampu membina nama sebagai pereka kasut di Jepun. Kisahnya bermula lebih 16 tahun lalu, selepas tamat sekolah menengah dan memperoleh keputusan SPM kurang cemerlang, saya agak kecewa dan terkilan.

“Oleh kerana tidak mahu menghampakan harapan keluarga yang mahu melihat saya berjaya seperti kakak, saya tekad mengubah nasib dengan mendalami bidang yang saya minati,” kata pemuda kelahiran Kuala Lumpur itu seperti yang dilaporkan akhbar Harian Metro.

Menurut Shahnun, arwah bapanya, Prof Madya Mohd Said Kadis merupakan antara pembuka jalan buat dia untuk mengubah nasib hidupnya

Arwah bapanya yang juga merupakan bekas pensyarah bidang Fizik di Universiti Malaya (UM) kerap kali berulang-alik ke Jepun kerana tuntutan tugas sering mengongsikan pengalaman beliau kepadanya.

“Ayah juga adalah pengasas program Rancangan Persediaan Khas Ke Jepun (RPKJ) di UM. Setiap kali pulang dari Jepun, ayah berkongsi pengalaman dan cerita menarik tentang Jepun, sekali gus memupuk minat saya terhadap negara itu.

“Secara kebetulan, saya ditawarkan biasiswa mendalami Bahasa Jepun sebelum menyambung pelajaran ke Kyoto University dalam bidang reka bentuk seni bina,” katanya.

“Sejurus tamat pengajian, saya cuba menimba sebanyak mungkin pengalaman dalam pelbagai bidang termasuk menjadi tenaga pengajar di universiti bagi kursus Creative Thinking, Interpreter di sebuah kilang Jepun, selain turut aktif dalam bidang nyanyian sebelum menyedari minat saya sebenarnya terarah kepada dunia fesyen,” tambahnya lagi.

Walaupun telah menyambung pelajaran dalam jurusan seni bina, namun bagi Shahnun, jurusan yang dipelajarinya itu tidak banyak beza dengan bidang seni kreatif

Kata Shahnun, “Bagi saya, kerjaya arkitek tidak banyak beza dengan pereka kasut kerana kedua-dua bidang itu mementingkan keseimbangan dan struktur.

“Ketika menghadiri temu duga, idea dan hasil rekaan kasut saya berjaya menarik minat majikan sebelum ditawarkan bekerja di sebuah syarikat di Osaka.

“Hampir setiap bulan saya perlu melawat kilang pembuatan untuk memastikan kualiti kasut kami terjamin, malah saya juga berpeluang menghadiri ‘fashion week’ di luar negara setiap musim untuk membuat penyelidikan selain mencari ilham,” katanya yang telah membina nama di negara itu sejak tujuh tahun lepas.

Terdapat pelabgai cabaran yang terpaksa dilaluinya seperti masalah komunikasi dan cara pemikiran pekerja di Jepun yang mementingkan disiplin, namun minat terhadap kerjaya diceburi menjadi motivasi untuk bertahan sehingga kini

“Disebabkan saya bangsa asing, majikan tidak terus beri kepercayaan sepenuhnya, malah pada mulanya semua rekaan kasut saya ditolak.

“Namun, saya berusaha keras dan bersaing dengan pereka tempatan dan membuktikan mampu buat lebih baik berbanding mereka.

“Akhirnya dalam tempoh tiga tahun, saya diberi kepercayaan oleh majikan dengan menjadi bangsa asing pertama menjawat jawatan pereka utama mereka sebelum dinaikkan pangkat sebagai pengarah kreatif.

“Insya-Allah pada masa akan datang saya dijangka dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pengeluaran jenama baru di bawah syarikat ini,” kata Shahnun.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang agak asing dalam arena fesyen di Jepun, membuatkan dirinya kerap menjadi tumpuan media negara itu, sekali gus membuka ruang buatnya mempromosikan Malaysia

Kata Shahnun, “Kerjaya saya sebagai pereka kasut anak Malaysia di Jepun bukan saja kerana minat dalam bidang fesyen tetapi saya juga berniat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

“Bagi saya, walaupun pencapaian akademik tidak seberapa, sekiranya ada minat mendalam dan sanggup bekerja keras seseorang itu boleh meraih kejayaan.

“Saya harap selepas memperoleh ilmu dan pengalaman yang cukup, saya mahu berkongsi ilmu itu di dunia fesyen tempatan kita,” tambahnya lagi.

Boleh lihat rekaan kasut jenama Premier Seven di bawah:

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi rakyat Malaysia cipta nama di negara luar:

You may be interested in: