Lepas Berhabis RM20K, Pengantin Akhirnya Agih Lauk Kenduri Kepada Orang Ramai Sebab Banjir
Difahamkan, kenduri mereka dirancang untuk 1,200 tetamu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sejak kebelakangan ini, beberapa negeri di semenanjung Malaysia telah dilanda banjir teruk antaranya termasuklah Kedah & Kelantan
Tidak dinafikan, ia telah menjejaskan banyak kawasan sehingga menyebabkan kesukaran untuk membuat majlis atau program penting.
Tidak terkecuali, pasangan pengantin yang sepatutnya mengadakan kenduri perkahwinan mereka akhirnya memutuskan untuk mengagihkan makanan yang telah ditempah untuk orang ramai selepas homestay yang disewa untuk majlis itu di Titi Besi, Kepala Batas ditenggelami banjir.
Menurut laporan Sinar Harian, Mohamed Khairie Mohamed Kamal, 28, dan Nur Izzatul Asma Mustafa, 22, juga terpaksa memindahkan lokasi kenduri ke rumah datuk pengantin perempuan di Kampung Hutan Kandis, Alor Setar.
Nur Izzatul Asma berkata, kenduri perkahwinannya dirancang untuk 1,200 tetamu yang disediakan oleh pihak katering tetapi semua makanan itu terpaksa dibungkus dan diedarkan kepada kenalan, saudara mara, pusat tahfiz dan orang ramai.
Bajet keseluruhan majlis kira-kira RM20,000
"Memang sedih apabila majlis penikahan pada semalam diikuti majlis kenduri pada hari ini berlangsung dalam suasana banjir namun saya reda dan tetap menganggapnya sebagai hari bersejarah dalam hidup kami.
"Saya berterima kasih kepada tetamu terutama kenalan serta ahli keluarga yang hadir ke majlis kenduri akad nikah semalam walaupun terpaksa menaiki bot milik penduduk dan kenderaan pacuan empat roda," katanya.
Nur Izzatul Asma yang bekerja sebagai kerani berkata, majlis perkahwinannya dirancang sejak Mei lepas dan kad jemputan juga telah diedar selain menempah baju pengantin serta keperluan lain yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM20,000.
"Kami tetap raikan perkahwinan ini dengan mengambil gambar kenangan, memakai baju pengantin dan menaiki bot serta kenderaan pacuan roda berlatarbelakangkan kawasan banjir," katanya.
Sementara itu, Mohamed Khairie berkata, dia sedikit terkilan kerana hanya tiga ahli keluarganya dari Simpang Kuala, Alor Setar yang dapat hadir ke majlis akad nikah semalam kerana banyak jalan terputus akibat banjir.
"Selalunya saya tengok perkahwinan dalam banjir seperti ini di televisyen dan laman sosial saja, tak sangka kali ini saya dan isteri pula lalui, kami reda saja sebab nak buat apa lagi," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!