Mahmud Jumaat Sahkan Tidak Lagi Wakili Sebagai Peguam Untuk Ibu Arwah Zayn Rayyan
"Saya rasa, saya bukanlah peguam yang sesuai untuk kes ini" - Mahmud Jumaat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Peguam dari Tetuan Emir Mahmud & Co, Mahmud Jumaat mengesahkan beliau tidak lagi mewakili ibu Zayn Rayyan, kanak-kanak yang mati dibunuh 6 Disember tahun lalu, sebelum sebutan semula kes pengabaian ke atas Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Mateen, hari ini
Menerusi posting yang dimuat naik di Facebook, Mahmud menyatakan dia bukanlah peguam yang sesuai untuk kes berkenaan dan berdoa agar keadilan berpihak kepada arwah Zayn Rayyan.
"Saya rasa, saya bukanlah peguam yang sesuai untuk kes ini. Saya doakan keadilan akan bersama kita semua #justiceforzaynrayyan," katanya.
Menurut laporan Harian Metro, mengenai apakah kemungkinan Ismanira akan diwakili peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili suaminya, Mahmud berkata, dia tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu.
"Itu terserah kepada mereka. Tugas saya hanya sampai di sini.
"Saya rasa, saya bukanlah peguam yang sesuai untuk kes ini. Saya doakan keadilan akan bersama kita semua," ujarnya.
Terdahulu pada 4 Jun, kontroversi membabitkan Mahmud menarik perhatian apabila memaklumkan beliau tidak lagi mewakili ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan
Berselang tiga hari kemudian, keluarga Ismanira tampil dengan penjelasan mereka memang sepakat melantik Mahmud untuk mewakili adik mereka sejak dari awal lagi.
Sebagai rekod, pada 28 Jun lalu, ibu dan bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.
Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat anak kandung mereka itu ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!