Masyarakat Mualaf Di Terengganu Kekalkan Tradisi 'Makan Besar' Sempena Tahun Baharu Cina
Meriah keluarga dia.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Walaupun sudah memeluk Islam, golongan mualaf masyarakat Cina di Terengganu ini tidak pernah melupakan tradisi 'makan besar' setiap kali sambutan perayaan Tahun Baharu Cina
Menurut laporan Berita Harian, tradisi turun temurun masyarakat Tionghua itu bukan hanya diraikan mereka, sebaliknya turut menjemput mualaf bangsa lain bagi mewujudkan suasana lebih harmoni dan mengeratkan ukhuwah.
Bagi Abdul Halim Lim Abdul Rahman, 53, tradisi makan besar dalam kalangan mualaf itu diadakan bagi mengukuhkan hubungan mesra dalam kalangan masyarakat Cina Muslim yang bermastautin di negeri itu.
"Majlis ini diadakan kerana kita mahu masyarakat luar melihat meskipun sudah bertukar agama, kami tetap meraikan perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga.
"Kami meraikannya dalam ruang lingkup yang dibenarkan syarak dengan tidak mencampuradukkan rutin agama yang tidak dibenarkan dalam Islam," katanya.
Isteri, anak serta ahli keluarga lain turut teruja dan menghormati tradisi nenek moyang mereka meskipun berbeza agama
Abdul Halim yang bertugas sebagai pegawai di Unit Korporat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu, berkata acara berkenaan turut diraikan bersama isteri, anak dan ahli keluarga lain yang teruja dan menghormati tradisi nenek moyang mereka meskipun berbeza agama.
Sementara itu, Nur Khaalishah Shandlaysnie, 38, pula berkata, selepas memeluk Islam pada 2018, setiap tahun dia meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dan tradisi 'makan besar' bersama rakan mualaf daripada pelbagai bangsa.
Beliau yang berumahtangga dengan lelaki tempatan, berkata acara 'makan besar' yang menjadi tradisi masyarakat Tionghua setiap kali menyambut perayaan Tahun Baharu Cina memberi kesan mendalam dalam dirinya.
"Saya berhijrah ke Terengganu pada 2017 dan memeluk Islam setahun kemudian. Dengan menyertai tradisi 'makan besar' bersama rakan mualaf, ia banyak membantu saya menyesuaikan diri, selain mempelajari banyak perkara berkaitan Islam.
"Dalam kalangan mualaf, ramai yang arif dan bergelar ustaz. Menerusi tradisi ini, saya boleh belajar banyak perkara baharu daripada mereka tentang Islam," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!