Lelaki Ditikam 40 Kali Di Dada Oleh Rakan, Disyaki Ada Hubungan Sulit Dengan Isteri Suspek
Difahamkan, mangsa dan suspek kedua-duanya merupakan etnik Rohingya.
Seorang lelaki etnik Rohingya ditemui mati di Kampung Melor Lama, Kota Bharu, Kelantan
Menurut sumber, suspek yang berusia 32 tahun itu ditikam sebanyak 40 kali oleh rakan senegara mangsa termasuk di bahagian dada dalam kejadian yang berlaku pada 9.30 pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, siasatan mendapati kejadian itu berlaku disebabkan suspek berang terhadap mangsa yang disyaki mempunyai hubungan sulit dengan isteri suspek.
“Hasil siasatan lanjut, kita mendapati terdapat 40 kesan tikaman termasuk di bahagian yang sama di dada. Sebelum kejadian, mangsa pergi ke rumah suspek sebelum berlaku pergaduhan.
“Susulan itu, suspek mengambil sebilah pisau di dalam rumah yang disewanya dan menikam mangsa sehingga lelaki itu maut,” katanya.
Pernah menyewa bersama sebelum tinggal berasingan dengan isteri masing-masing
Tambah Muhamad Zaki, kejadian juga berlaku ketika isteri suspek turut berada di dalam rumah. Susulan kejadian itu, suspek dan isterinya telah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Suspek dan mangsa sebelum ini pernah menyewa bersama sebelum mereka tinggal berasingan bersama isteri masing-masing," katanya.
Mayat mangsa telah ditemukan berada di sekitar kawasan kebun jagung berhampiran rumah yang disewa suspek bersama isterinya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!