"Mimpi Ngeri" - Berdepan Stigma Masyarakat, Wanita Ini Kongsi Kisah Jadi Pesakit Covid-19
Sedih dengan sikap segelintir orang kita.
Sedar tak sedar, sudah hampir setahun penularan wabak Covid-19 melanda di negara kita
Kes yang positif pula semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda. Ini menimbulkan kebimbangan dan sudah tentu menjadi pengalaman hitam bagi kita semua sebagai rakyat Malaysia.
Walaupun frontliners tidak putus-putus cuba mengekang penularan virus ini, ia tetap sukar untuk dihapuskan kerana kita masih belum menemui vaksin yang berkesan.
Pihak yang paling terkesan dengan keadaan ini sudah semestinya pesakit Covid-19 itu sendiri. Bukan saja dari segi fizikal, malah mental mereka juga diuji dengan pelbagai stigma masyarakat yang sering memandang rendah seolah-olah mereka yang meminta untuk menjadi pesakit wabak maut itu sendiri.
Walhal, kita semua tahu setiap orang memainkan peranan dan patuh dengan penjarakan fizikal supaya dielakkan dari terkena virus Covid-19.
Begitu juga dengan pengalaman yang dikongsi oleh seorang wanita ini yang baru saja melahirkan anak sulungnya sebulan yang lalu.
Disahkan positif Covid-19 semasa hamil 37 minggu
Baru-baru ini, tular sebuah ciapan di laman Twitter yang dimuat naik oleh wanita bernama Hazwani Hani, di mana dia berkongsi kepada umum tentang pengalamannya sepanjang bergelar pesakit Covid-19 sewaktu dia sedang menunggu hari untuk bersalin.
Pengalaman pahit Hazwani atau lebih mesra disapa Wani bermula pada 17 Oktober lalu apabila dia mula selsema teruk.
Baca ciapan penuh Wani di bawah:
Ditahan dalam wad sementara menunggu keputusan swab test sebelum disahkan positif Covid-19
Menurut Wani, dia pada mulanya merasa agak takut semasa berada di dalam wad seorang diri dan suaminya tidak dapat menemaninya memandangkan mereka harus mengikut prosedur yang ditetapkan.
Tambahan pula apabila melihat semua doktor dan jururawat memakai full suit Personal Protective Equipment (PPE), lagilah gerun rasanya. Siapa je yang tidak takut bila ditahan di wad, lebih-lebih lagi ia melibatkan antara hidup dan mati.
Tak perasan dah hilang deria bau dan rasa
Keputusan swab test yang sepatutnya keluar pada pukul 8 malam menjadi lambat 2 jam tidak merisaukan Wani kerana dia yakin yang dia tidak mempunyai apa-apa simptom.
Sedangkan sebenarnya pada ketika itu dia sudah pun hilang deria rasa dan bau tanpa dia sedari. Wani terdiam apabila jururawat bertugas mengatakan dia positif Covid-19 sehingga dia terpaksa tanya dua kali untuk memastikan dia tidak salah dengar.
Bermula detik hitam apabila menjadi pesakit Covid-19 dan terpaksa berdepan dengan pelbagai stigma masyarakat
Kecewa dengan sikap sesetengah orang, jiran tetangga pula sibuk menyebarkan berita palsu mengenainya
Wani tidak menafikan layanan yang diberikan oleh pihak hospital kepadanya sebagai pesakit Covid-19 adalah sangat baik. Malah, dia diberi makan sehari 5 kali.
Namun, apa yang mengecewakan Wani adalah apabila stigma masyarakat terhadap dirinya dan keluarga telah mencemarkan nama baik mereka.
Tidak hanya itu, jiran mereka pula sibuk bergosip dan mengeluarkan kenyataan yang tidak sahih sedangkan mereka tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi kepada Wani.
Malah, kehidupan peribadinya diganggu selepas gambar kahwinnya tersebar luas dalam group WhatsApp jiran-jiran dan ada yang sampai bertindak lalu di depan rumahnya dan mengambil gambar seolah-olah dia seorang penjenayah.
"Instead of asking where you got it, better you ask how are you doing. Jom kita jaga kita" - Wani
Walau bagaimanapun, Wani tetap bersyukur semua urusannya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan walaupun terpaksa mengharungi detik hitam itu.
Perkongsian Wani sedikit sebanyak dapat menyedarkan masyarakat untuk menghentikan stigma melampau terhadap pesakit Covid-19, sebaliknya memberikan sokongan kepada mereka untuk terus melawan wabak ini.
Dalam pada itu, rata-rata netizen turut memberi pandangan mereka mengenai pengalaman yang dihadapi oleh Wani
Semoga perkongsian ini dapat membuka mata masyarakat di luar sana agar berhenti mengamalkan budaya stigma kepada pesakit Covid-19.