Baru Nikah Sebulan Tapi Dah Beranak, Ibu Tekup Muka Bayi Sendiri Sampai Mati Kerana Panik
Si ibu melahirkan bayinya di tandas sebuah rumah ibadah.
Misteri penemuan mayat bayi lelaki di sebuah kebun di Timur Telukjambe, Kabupaten Karawang di Indonesia pada 10 November 2018 lalu akhirnya terungkai
Berdasarkan siasatan, pihak polis mendapati bahawa bayi terbabit telah dibunuh oleh ibunya sendiri yang baru berusia 19 tahun. Remaja berkenaan, Alfi Roihuljanah dan suaminya, Eggy Fauzul Ghofur, 20, telah pun diberkas oleh pihak polis.
"Hasil siasatan kami mendapati bahawa pembunuhan bayi itu telah dilakukan oleh ibunya sendiri, manakala bapanya bertindak menanam mayat mangsa yang baru lahir itu di sebuah kebun," kata jurucakap polis tempatan, AKBP Slamet Waloya.
Menurut Slamet, Alfi melahirkan bayinya itu secara normal di tandas sebuah rumah ibadah
Motif pembunuhan tersebut dipercayai adalah disebabkan perasaan panik dan malu memandangkan pasangan tersebut baru saja mendirikan rumah tangga sebulan yang lalu sebelum Alfi melahirkan bayi berkenaan.
"Mereka ini pasangan yang sah, baru saja menikah satu bulan. Namun, si isteri sudah pun melahirkan anak dan disebabkan rasa panik, dia tergamak membunuh bayinya sendiri," kata Slamet lagi.
Oleh sebab itu, pihak berkuasa turut menguji sampel DNA mangsa dengan Eggy bagi mengetahui sama ada bayi malang tersebut adalah anaknya sendiri atau sebaliknya.
Berdasarkan hasil bedah siasat, doktor forensik menemui tanda-tanda bayi itu dibunuh dan berlaku juga pendarahan dalam otak
Setelah bayi itu tidak bernyawa, Alfi dilaporkan menyerahkan mangsa kepada Eggy untuk ditanam di sebuah kebun kira-kira 25 meter dari rumah mereka.
Kedua-dua suspek bakal didakwa di bawah Fasal 80 Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak dan jika didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.
Alfi mengakui telah menekup mulut dan hidung mangsa sehingga lemas sebaik saja bayi itu keluar dari rahimnya.
Namun, dia tidak berniat langsung untuk membunuh.
Menurut Alfi, dia melakukan sedemikian hanya kerana takut bayinya akan nangis.
"Saya menekup mukanya kerana takut dia menangis. Saya tidak bunuh. Saya takut bayi menangis, tak sangka dia boleh maut, tak sengaja tutup mulutnya," katanya sambil menundukkan kepala.
Rupa-rupanya, bayi terbabit adalah hasil daripada kes rogol terhadap Alfi yang berlaku pada November 2017 lalu
”Saya diperkosa secara paksa pada November 2017 di rumah dan pelakunya adalah dua orang lelaki. Saya tidak melaporkan perkara ini kerana takut saya diancam. Suami tidak tahu saya telah hamil semasa bernikah. Ya, saya menyesal,” kata Alfi.