seismik

"Dia Hero!" - Nor Salwani Dipuji Kerana Tolak Arahan Najib Razak Lupus Laporan Asal 1MDB

Sikap dan keberanian Nor Salwani telah menarik perhatian serta pujian ramai yang mana rata-rata telah mengangkatnya sebagai 'hero'.

Cover image via The Vocket Twitter @shamaineothman

Semenjak dua menjak nama seorang wanita iaitu Nor Salwani Muhammad telah tular di laman-laman sosial

Perkara ini berikutan prosiding perbicaraan kes Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi pada 20 November yang lalu.

Nor Salwani Muhammad.

Image via NST

Dalam prosiding berkenaan, Nor Salwani telah hadir sebagai saksi kelima yang dipanggil untuk memberi keterangan.

Nor Salwani yang juga merupakan Pengarah Tadbir Urus Jabatan Audit Negara berkata bahawa dia telah dilantik sebagai Koordinator Pasukan Pengauditan Khas 1MDB pada 9 Mac 2015 yang lalu turut mengesahkan terdapat sebanyak 60 buah Laporan Akhir Audit 1MDB telah dicetak pada 20 Februari 2016.

Nama Nor Salwani mula disebut-sebut disebabkan tindakannya yang secara rahsia telah menyimpan satu daripada 60 salinan laporan asal meskipun diarah oleh Ketua Audit Negara ketika itu untuk dilupuskan bagi mengelak kebocoran

Ketua Audit Negara ketika itu iaitu Ambrin Buang telah memerintahkan agar semua 60 naskah laporan berkenaan dimusnahkan dan hanya salinan yang telah dipinda sahaja diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Nor Salwani Muhammad.

Image via The Vocket

Salinan laporan audit Nor Salwani yang mempunyai tanda "09" itu kemudiannya telah dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan terhadap DS Najib Razak yang dituduh mengarahkan pindaan ke atas laporan audit berkenaan.

"Saya menyimpan laporan itu untuk diberikan kepada ketua audit negara yang baru, dengan niat ikhlas, saya telah menyerahkan laporan '09' untuk membolehkan ketua audit negara yang baru mendapatkan keseluruhan gambaran mengenai penemuan audit," kata Nor Salwani seperti yang dilaporkan MalaysiaKini.

Dia juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia menyimpan sesalinan laporan itu secara rahsia kerana mungkin memerlukannya pada kemudian hari sebagai rujukan.

Bukan itu sahaja, Nor Salwani juga telah membekalkan bukti lain dalam bentuk rakaman audio selama dua jam dan 45 minit yang dirakamkan pada mesyuarat 24 Feb 2016, yang dihadiri oleh pegawai tertinggi dari kerajaan dan 1MDB

Dalam keterangannya kepada mahkamah, dia telah menyatakan bahawa dia telah meletakkan satu alat rakaman di dalam kotak pensel milik bekas Pengarah Prestasi Audit, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, tanpa pengetahuannya ketika mesyuarat ‘sulit’ itu bagi tujuan pindaan laporan audit.

Image via Edge Prop

Dia berbuat demikian sebagai persediaan untuk membuat minit mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB berkenaan kerana tidak dibenarkan berada dalam bilik mesyuarat itu.

"Saya dilantik sebagai koordinator penyediaan laporan audit 1MDB. Disebabkan itu saya perlu mengetahui apa yang dibincangkan dalam mesyuarat terbabit kerana saya tidak boleh menyertainya (mesyuarat).

"Saadatul Nafisah tidak tahu yang saya menyimpan perakam dalam bekas pensil miliknya. Selepas mesyuarat habis, saya ambil perakam itu daripada bekas penselnya sebelum membawanya ke pejabat," katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Image via BBC

Isi rakaman mesyuarat tersebut ternyata telah mengejutkan Nor Salwani. Antara perkara yang dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut adalah untuk menggugurkan laporan audit 1MDB. Selain itu, terdapat juga arahan supaya beberapa laporan tidak dimasukkan ke dalam laporan audit malah meminta supaya Nor Salwani melupuskan laporan audit terbabit.

Sebenarnya tindakan Nor Salwani telah melanggar Akta Rahsia Kerajaan 1972, di mana jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan penjara selama 7 tahun kerana membocorkan rahsia kerajaan

Walau bagaimanapun, sikap dan keberanian Nor Salwani telah menarik perhatian serta pujian daripada warganet yang mana rata-rata daripada mereka mengangkatnya sebagai hero.

Menerusi hasil tinjauan di Twitter, berikut adalah antara komen yang dikeluarkan pengguna laman sosial itu perihal perkara ini:

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi berita terkini di SAYS:

Leave a comment