Pahang Bakal Ada Hotel Kapal Terbang Pertama Di Malaysia, Tengah-Tengah Hutan Pula Tu!
Hotel pesawat ini dijangka akan dibuka pada awal tahun 2020.
Kalau nak diikutkan, pada masa kini, kita sering lihat reka bentuk tempat penginapan yang unik dan lain daripada lain, namun kebanyakannya di luar negara, bukan?
Sebagai contoh, di Sweden terdapat Ice Hotel. Seperti namanya, hotel ini merupakan hotel pertama yang dibina dari blok ais dan salji. Menariknya, Icehotel yang dibuat dari ais Torne River ini dibina hanya pada musim sejuk, kerana pada musim panas hotel ini akan mencair.
Selain itu, buat pencinta pelancongan air pula boleh tidur dalam bilik terapung di The Manta Resort, Pulau Pemba di Tanzania. Resort ini terletak di kepulauan Zanzibar dan mempunyai bilik terapung, dengan katil di atas laut. Mereka yang berminat menyelam sangat sesuai untuk bermalam di sini di tengah-tengah laut biru yang luas terbentang.
Bagaimana pula dengan Malaysia?
Jangan terkejut tetapi Malaysia bakal ada Hotel Kapal Terbang, di tengah-tengah hutan di Pahang!
Sebenarnya, "idea gila" untuk membina hotel pesawat tersebut adalah hasil daripada buah fikiran dua beranak ini sejak tiga tahun yang lalu
Young Yeong Long dan anaknya, Kevin Young Thien Sheng, ingin memperkenalkan hotel unik menggunakan pesawat jenis Boeing 737-400, dipercayai yang pertama seumpamanya di negara.
Menurut Kevin, pesawat itu dibeli oleh bapanya daripada sebuah syarikat penerbangan yang perlu melupuskan pesawat yang telah melebihi tempoh perkhidmatan. Hotel pesawat itu bakal dibuka di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.
“Kami memilih untuk menempatkan pesawat ini di kawasan hutan kerana mahu ia bersatu dengan konsep semula jadi supaya pengunjung memilih penginapan ini jika mahu lari daripada kesibukan di bandar,” jelasnya.
Tambah Kevin lagi, kerja memindahkan pesawat terbabit dari Selangor ke Sungai Lembing telah pun dibuat pada awal bulan Mei yang lalu, dan dijangka dapat direalisasikan pada awal tahun 2020.
Bahkan, kerja-kerja membawa pesawat itu juga memerlukan mereka untuk membuat satu laluan khas supaya kenderaan boleh membawa masuk ke tapak hotel
“Kerja paling sukar ialah membawa pesawat dari Selangor ke sini. Kami perlu memotong pesawat kepada beberapa bahagian, menyewa lima treler dan dua kren untuk mengangkat pesawat pada awal Mei.
“Kami juga perlu membuat jalan khas supaya kenderaan membawa pesawat dapat masuk ke resort. Kami sedaya upaya tidak mahu menebang pokok di sini, namun terpaksa juga memotong satu dua (pokok) bagi memuatkan bahagian sayap,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Bukan itu sahaja, mereka juga mengambil masa selama dua bulan bagi merancang perjalanan pesawat itu ke lokasi hotel, supaya kenderaan membawa pesawat itu tidak mengganggu aliran trafik khususnya laluan jalan raya Persekutuan sebelum memasuki lebuh raya.
Walaupun belum beroperasi lagi, kawasan hotel terbabit telah tular dan orang ramai mula datang ke lokasi untuk melihat sendiri pesawat terbabit
“Paling seronok apabila kami mula memasuki Sungai Lembing. Berita tentang pesawat itu tersebar begitu cepat dan orang ramai beratur di tepi jalan untuk melihat sendiri...suasana begitu meriah ibarat pesta pada hari itu,” katanya.
Kevin yang merupakan graduan sarjana muda di Universiti Lim Kok Wing enggan mendedahkan jumlah dibelanjakan untuk membeli pesawat itu, namun menjelaskan yang ianya ‘sangat mahal’ di samping perlu mematuhi prosedur ketat.
Meskipun mengeluarkan belanja yang besar, Kevin menambah bahawa mereka mungkin membina hanya lima bilik daripada keseluruhan 36.57 meter (120 kaki) pesawat itu bagi menjamin keselesaan pengunjung.
“Saya mahu mengekalkan ciri-ciri pesawat seperti pintu masuk... jadi mungkin satu dua bilik akan menggunakan pintu bagasi sebagai pintu masuk dan ada bilik akan diakses menggunakan pintu masuk penumpang. Ini memberi pengalaman tersendiri kepada pengunjung.
“Bahagian kokpit pula akan dikekalkan supaya semua pengunjung boleh merakamkan kenangan. Trend terkini pengunjung mahu gambar yang cantik untuk dimuatnaik dalam laman sosial khususnya di Instagram,” katanya.
Pemuda itu turut bercadang untuk mendaftarkan jenama hotel pesawat itu dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi ‘melindungi’ keunikan hotel itu, kerana dia berhasrat mahu membuka hotel dengan konsep serupa di lokasi berbeza.